ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Thursday, 31 July 2014

CIRI-CIRI PERADABAN MASYARAKAT MELAYU LAMA DALAM SULALATUS SALATIN [SEJARAH MELAYU]

DAPATKAN NASKAH SEJARAH MELAYU EDISI ONLINE DISINI
OLEH : Unit Kajian Sains Sosial PenaMinang.com

PENGENALAN

Masyarakat Melayu lama sememangnya telah mempunyai peradaban. Hal ini akan dapat dibuktikan melalui kajian mengenai ciri-ciri paradaban masyarakat Melayu lama berdasarkan teks sejarah Melayu Sulalatus Salatin.

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, peradaban bermaksud keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani dalam sesuatu bangsa ataupun masyarakat. Peradaban itu sendiri sebenarnya berasal dari bahasa Arab iaitu kata akar ‘adab’ yang bermaksud mempunyai tingkah laku yang baik dan memperhalus budi pekerti.

Dalam kajian ciri-ciri peradaban masyarakat Melayu lama, buku yang menjadi panduan utama ialah teks sejarah Melayu Sulalatus Salatin. Hal ini demikian kerana sejarah cerita Sulalatus Salatin itu sendiri yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat zaman dahulu.

SEJARAH SULALATUS SALATIN

Sulalatus Salatin merupakan karya sejarah Melayu lama. Teks Sulalatus Salatin sebenarnya adalah hasil penyusunan semula sebuah hikayat Melayu yang dikatakan berasal dari Goa. Hal ini dapat dibuktikan melalui satu titah dari seorang raja kepada seorang bendahara di mana raja tersebut memerintahkan agar bendahara memperbaiki dan menyusun semula hikayat Melayu yang datang dari Goa. Bendahara yang dimaksudkan ialah Tun Muhammad ataupun nama gelarannya Tun Sri Lanang. Oleh itu, pengarang buku Sulalatus Salatin ialah Tun Sri Lanang. Titah raja yang memerintahkan agar hikayat Melayu di perbaiki dan disusun boleh dilihat dalam bab awal teks Sulalatus Salatin iaitu :

“Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita,dan boleh diingatkan oleh segala mereka itu. Dan adalah beroleh faedah ia daripadanya.” (halaman 2)

Oleh itu, hal ini jelas menggambarkan sebuah hikayat Melayu yang datang dari Goa diperintahkan untuk diperbaiki dan disusun semula sehingga terhasil karya teks Sulalatus Salatin.

Buku Sulalatus Salatin dihasilkan oleh Tun Sri Lanang pada 13 Mei 1612. Tujuan Sulalatus Salatin dihasilkan adalah sebagai panduan kepada generasi turun temurun supaya mereka mengetahui salasilah keturunan raja-raja Melayu yang bermula daripada Raja Iskandar Zulkarnain.

CIRI-CIRI PERADABAN MASYARAKAT MELAYU LAMA

Apabila memperkatakan tentang masyarakat, sudah tentu sesuatu masyarakat itu akan dilihat dan dinilai dari aspek kehidupannya sama ada telah mencapai ketamadunan. Ciri-ciri tamadun yang wujud dalam sesuatu masyarakat itu kemudiannya akan membentuk tamadun yang pada akhirnya akan mewujudkan peradaban. Oleh itu, ciri-ciri peradaban tersebut akan dilihat dalam masyarakat Melayu lama khusunya gambaran kehidupan masyarakat yang dapat dilihat dan dibuktikan melalui teks Sejarah Melayu Sulalatus Salatin.

PETEMPATAN KEKAL

Kewujudan petempatan yang kekal merupakan langkah awal perkembangan sesebuah masyarakat bertamadun. Hal ini disebabkan melalui petempatan yang kekal, sesebuah masyarakat itu mula melangkah ke hadapan bagi menumpukan kepada aktiviti pertanian, ekonomi, politik dan sosial yang lebih berkesan. Keadaan ini seterusnya akan membawa kepada kelahiran sesebuah negara kota yang besar dan kerajaan yang mantap.

Kelahiran sesebuah peradaban banyak didorong oleh kedudukannya yang strategik yang memungkinkan petempatan masyarakat memperoleh sumber-sumber semula jadi bagi kelangsungan hidup seharian. Sebagai contoh, faktor lokasi seperti ini yang merujuk kesesuaian faktor-faktor geografi dilihat telah menggalakkan kemunculan tamadun Melaka di pesisir Selat Melaka. 

Perkembangan petempatan yang kekal juga telah menyebabkan struktur kehidupan masyarakat dahulu atau masyarakat lama menjadi lebih tersusun dan sistematik. Hal ini dapat dilihat dan dibuktikan melalui petempatan manusia ketika itu yang tidak lagi mengamalkan kehidupan berpindah-randah atau normad, sebaliknya telah tinggal menetap di sesuatu tempat atau kawasan yang amat bersesuaian dengan kehidupan mereka seperti cuaca, iklim, sumber-sumber semulajadi, tanah yang subur dan sumber air yang banyak yang mudah diperoleh. 

Pembukaan petempatan juga dikaitkan dengan mitos. Contoh petempatan yang dapat diambil ialah petempatan Melaka. Dalam Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, pembukaan Melaka dapat dikisahkan melalui kisah anjing perburuan Sultan Iskandar Zulkarnain yang telah ditendang oleh pelanduk putih dan nama pokok tempat baginda bersandar pada ketika itu adalah pokok Melaka.

‘Maka Raja Iskandar pun berdiri di bawah sepohon kayu, terlalulah rendang: maka baginda pun berburu, maka anjing perburuan itu pun diterajangkan oleh pelanduk putih, jatuh ke air.’ 

“Maka Raja Iskandar bertanya: “apa nama kayu itu, tempat kita bersandar?” Maka sembah orang: “kayu Melaka namanya, Tuanku.” Maka titah baginda, “Jika demikian , Melakalah nama negeri ini.” (halaman 7)

Selain itu, kewujudan petempatan masyarakat manusia di sesebuah kawasan atau beberapa kawasan yang disatukan telah mampu membentuk kota, bandar, kepolisan atau madinah. Sebagai contoh, di Semenanjung Tanah Melayu, Melaka muncul sebagai sebuah pusat tamadun Melayu Islam yang menguasai persisiran Selat Melaka sekitar kurun ke-15 dan awal kurun ke-16. Melaka telah dibuka sekitar tahun 1400 oleh Parameswara, seorang raja berketurunan Srivijaya yang telah berundur dari Palembang apabila diserang oleh kerajaan Jawa. Pada awalnya baginda ke Temasik, kemudian membuka petempatan Melaka dan seterusnya menerima Islam di tangan Makhdum Syed Abdul Aziz, seorang mubaligh dari Makkah sekitar 1414.

Melaka mencapai zaman kegemilangannya pada pertengahan kurun ke-15 serta menjadi pelabuhan perdagangan berbentuk entrepot antara dunia Timur dan Barat, sebagai pusat penyebaran agama Islam, dan melalui dasar peluasan kuasa iaitu imperialisme, ia telah berjaya menguasai wilayah-wilayah di persisiran Semenanjung dan juga bahagian timur Sumatera di persisiran Selat Melaka sehinggalah kejatuhan ibu kotanya di tangan kuasa Portugis pada tahun 1511.

Kewujudan petempatan yang kekal akan membentuk peradaban dalam sesebuah masyarakat. Anggota masyarakatnya akan mempunyai tingkah laku yang baik seperti kesopanan, kehalusan budi, berperikemanusiaan dan seumpamanya. Petempatan kekal di sesuatu kawasan juga secara tidak langsung akan membentuk sistem pemerintahan dan pentadbiran yang tersusun, perbandaran, sistem agama dan kepercayaan, kualiti kehidupan masyarakat, susun lapis masyarakat serta bahasa dan sistem tulisan.

KUALITI KEHIDUPAN

Kualiti kehidupan juga merupakan ciri-ciri yang terdapat dalam masyarakat melayu merujuk kepada teks Sulalatus Salatin. Kualiti kehidupan ini merupakan sistem kekeluargaan yang teratur bagi menjamin kehidupan yang berkualiti. Masyarakat melayu dalam sesebuah tamadun akan memastikan kehidupan mereka menjadi lebih baik dari satu tahap ke satu tahap. Masyarakat melayu pada masa itu menjalani kehidupan yang sederhana di luar bandar dan juga di bandar. Di luar bandar mereka akan menjalankan aktiviti pertanian dan menangkap ikan bagi menjamin tahap kualiti kehidupan yang lebih baik manakala masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan bandar pula mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan seperti melakukan aktiviti perniagaan melalui perdagangan dengan negara luar bagi menyumbang kepada kemajuan ekonomi sesebuah masyarakat Melayu.

Kualiti kehidupan ini merupakan keinginan untuk meningkatkan tahap kemajuan dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Masyarakat Melayu dalam teks Sulalatus Salatin telah menjalankan aktiviti pertanian bagi menjamin kehidupan mereka. Teks Sulalatus Salatin telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu pada masa itu berusaha untuk memajukan diri mereka. Buktinya menunjukkan bahawa terdapat dua orang gadis yang telah menjalankan aktiviti pertanian dengan menanam padi huma. Aktiviti pertanian ini telah di usahakan oleh Wan Empuk dan Wan Malini di bukit Si Guntang. Wan Empuk dan Wan Malini terkejut apabila padi mereka bertukar menjadi emas dan berbatang perak. 

Contoh ayat yang menunjukkan masyarakat Melayu dalam teks Sulalatus Salatin menjalankan aktiviti pertanian ialah :

“Maka ada dua orang perempuan balu berhuma padi,terlalu luas humanya;adalah namanya seorang Wan Empuk dan seorang namanya Wan Malini.Maka terlalulah jadi padinya .Tiada dapat terkatakan;telah hampir akan masak padinya itu.” (Bab 2:Kisah Bermula Di Bukit Si Guntang, halaman 19) 

Di samping itu, masyarakat dahulu yang tinggal di kawasan bandar juga kebanyakannya menjalankan aktiviti perdagangan. Aktiviti perdagangan yang berkembang khususnya di Melaka dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat Melayu. Melaka pada masa itu telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang berkembang maju. Perkembangan aktiviti perdagangan ini dapat menyumbang kepada tahap kualiti dan kemajuan ekonomi masyarakat Melayu pada masa itu. Hal ini dapat di buktikan melalui ayat dalam teks Sulalatus Salatin iaitu :

“ maka negeri Melaka pun besarlah lagi dengan makmurnya, segala dagang pun berkampung”. (Bab 4:Membuka Negeri Melaka, halaman 72)

Ayat ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada masa itu menjadikan Melaka sebagai sebuah tempat perdagangan yang maju dan ini dapat memperkenalkan Melaka kepada negara luar.

Kesimpulannya, melalui gambaran masyarakat Melayu lama yang menjalankan kegiatan ekonomi untuk menjamin kualiti kehidupan seperti yang terdapat dalam teks Sulalatus Salatin ini jelas menunjukkan bagaimana kehidupan masyarakat Melayu lama yang sudah terdidik dengan nilai-nilai peradaban sehingga mampu untuk menjalankan kehidupan dengan sempurna.

ORGANISASI SOSIAL

Sistem organisasi sosial masyarakat Melayu lama lebih kepada sistem feudal iaitu terdapat golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan yang memerintah terdiri daripada golongan raja, pembesar dan bangsawan manakala golongan yang diperintah adalah golongan rakyat yang terdiri daripada saudagar, petani serta hamba abdi.

Organisasi sosial mempunyai golongan-golongan yang tertentu. Golongan tersebut memainkan peranan yang penting seperti yang telah diceritakan dalam Sejarah Melayu terutama Raja dan golongan bangsawan. Raja merupakan pangkat yang tertinggi dalam negeri Melaka. Raja tersebut akan memerintah orang bawahannya untuk berkerja yang terdiri daripada golongan bangsawan, rakyat biasa mahupun golongan hamba abdi. Sesiapa pun tidak dibenarkan menderhaka kepada Raja. Manakala golongan bangsawan terdiri daripada Bendahara, Temenggung dan lain-lain adalah tahap kedua yang juga memainkan peranan penting selepas Raja. Mereka ialah pembantu-pembantu raja yang menolong raja dalam menguruskan hal-hal negeri. Contohnya dalam segi melaksanakan hukuman bagi penderhaka kepada Raja.

Rakyat biasa pula terdiri daripada saudagar, petani dan lain-lain. Contoh yang dapat ambil ialah saudagar. Mereka menjalankan tugas mereka dengan berdagang. Mereka memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi negeri dan telah menjadikan negeri itu tempat pelabuhan bagi saudagar-saudagar asing untuk berniaga di sana. Golongan hamba abdi pula adalah golongan yang paling bawah sekali. Golongan ini adalah golongan yang teramai sekali antara golongan-golongan yang lain. Contohnya orang yang memandikan gajah Raja, badang-badang, tukang masak untuk Raja dan sebagainya. Mereka ialah orang suruhan bagi golongan Raja dan bangsawan.

Oleh itu, kewujudan organisasi sosial atau stratifikasi sosial dalam kehidupan masyarakat Melayu lama sekaligus telah mewujudkan peradaban mereka kerana terdapat jurang perbezaan antara golongan atasan dan bawahan di mana golongan bawahan seperti rakyat jelata sangat hormat kepada golongan atasan.

BAHASA DAN TULISAN

Bahasa bermaksud satu sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam suatu kelompok manusia. Manusia akan menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi antara satu sama lain. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat mementingkan adab dalam berbahasa terutama kepada golongan raja dan golongan atasan. Mereka akan menggunakan bahasa yang baik, lembut, dan bersopan santun apabila mereka bertutur dalam kehidupan harian mereka.

Peradaban mereka dalam bertutur dapat dibuktikan melalui kewujudan unsur pemulukan dan pendinaan. Unsur pemulukan merupakan perbuatan menyanjung dan meletakkan raja pada satu taraf yang paling tinggi. Contohnya ialah :

“Titah Sultan Muzaffar Syah,’maukah Seri Nara Diraja akan Tun Kudu?’.Maka sembah Seri Nara Diraja,’Daulat Tuanku’

Dalam ayat di atas, unsur pemulukan dapat dilihat pada ayat ‘Daulat Tuanku’ di mana rakyat sangat menyanjung tinggi golongan raja iaitu Seri Nara Diraja Tun Ali menyanjung Sultan Muzaffar Syah dengan menggunakan ayat tersebut.

Unsur pendinaan pula ialah perbuatan merendah-rendahkan diri apabila bertutur dengan raja. Contohnya ialah :

Maka sembah Seri Maharaja ’Tidak patik tahu,tuanku’

Ayat ini pula jelas menunjukkan unsur pendinaan melalui kata-kata “tidak patik tahu, tuanku” yang diungkapkan oleh Seri Maharaja kepada sultan. Dalam hal ini, Seri Maharaja yang bertindak sebagai golongan rakyat sangat merendah-rendahkan diri apabila bertutur dengan sultan.

Keintelektualan masyarakat dahulu juga dapat dilihat melalui pengarang buku Sulalatus Salatin ini di mana beliau telah mula memasukkan unsur-unsur pengaruh Arab dalam penulisannya. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat dahulu juga telah mempunyai keupayaan dan pengetahuan dalam bahasa Arab lalu mengekspresikannya dalam penulisan. Bukti penggunaan bahasa Arab dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin iaitu :

“wa al haqani almukarram walhaman almuhtaram malja ’ kaffata al Umamu zillu ‘llahi fil ‘alam, kemudian takrif zihinun yang arif akan surat yang Mubarak, daripada paduka ayahanda dibawa oleh patik itu Seri Akar Raja dan Seri Nara Wangsa, serta tuhfat yang musyrifat itu telah wasillah, paduka anakanda sambut dengan takzim dan takrim.”

Selain itu, masyarakat dahulu juga sudah mempunyai keupayaan untuk menghasilkan sesebuah karya. Buktinya, keintelektualan pengarang dapat dilihat dalam Sulalatus Salatin yang ditulis dengan menggunakan tulisan jawi. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat dahulu sudah mempunyai pengetahuan dalam tulisan jawi. 

TEKNOLOGI DAN REKA CIPTA (BUDAYA BENDAWI)

Teknologi dan reka cipta atau budaya bendawi merupakan salah satu ciri-ciri peradaban masyarakat melayu pada masa itu. Teknologi ditakrifkan sebagai satu penyusunan ilmu untuk mencapai tujuan yang praktik manakala menurut Kamus Dewan Bahasa reka cipta boleh diertikan sebagai penghasilan suatu produk atau barangan baru atau pengubahsuaian sesuatu produk yang sedia ada. Budaya bendawi pula bermaksud kemampuan akal atau budi untuk menghasilkan sesuatu benda.

Masyarakat melayu lama telah menggunakan kemampuan akal dan budi ini melalui penciptaan beberapa teknologi. Antara contoh penggunaan teknologi dan reka cipta yang terdapat dalam teks Sulalatus Salatin ialah Peti Kaca Berkunci Berpesawat. Raja Suran telah mengarahkan rakyatnya supaya membuat peti kaca berkunci dan berpesawat dari dalam dasar lautan. Tujuan Peti Kaca Berkunci Berpesawat ini dicipta kerana baginda ingin melihat apa yang ada didalam lautan. Contoh penggunaan ayat dalam teks Sulalatus Salatin yang menunjukkan Raja Suran memerintah rakyatnya untuk membina Peti Kaca Berkunci Berpesawat adalah:

“Baginda pun menyuruh menghimpunkan segala pandai dan utus, maka dititahkan baginda berbuat sebuah Peti Besi Berkunci dan Berpesawat dari dalam” ( bab 1“ Hendak Mengetahui Isi Laut” Halaman 14)

Seterusnya ialah penciptaan perahu dan kapal juga merupakan salah satu penggunaan teknologi bendawi yang terdapat dalam teks Sulalatus Salatin. Peradaban dalam teknologi bendawi ini dapat dilihat apabila masyarakat dahulu menggunakan perahu dan kapal untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan perikanan. Buktinya dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin bab 14 iaitu :

“ berlengkap pula di Goa tiga buah kapal, delapan ghalias, empat buah ghali panjang, enam belas buah fusta, menjadi empat puluh tiga buah semuanya”. 

Di samping itu, kemampuan akal dan budi masyarakat Melayu lama juga dapat dilihat melalui potensi mereka dalam mencipta lukah. Lukah merupakan sejenis alatan untuk menangkap ikan di sungai-sungai kecil. Melalui penciptaan lukah, hal ini akan memudahkan aktiviti penangkapan ikan. Misalnya dapat dilihat dalam kisah Badang yang menggunakan lukah untuk menangkap ikan.

“Pada suatu hari Badang pergi menahan lukah ke hilir pada suatu sungai.”(Bab 3:Badang Beroleh Gagah,halaman 47)

Melalui penghasilan teknologi dan budaya bendawi, hal ini jelas menunjukkan masyarakat Melayu lama telah menggunakan kemampuan akal dan budi mereka dalam mencapai peradaban.

AGAMA DAN KEPERCAYAAN

Agama dan kepercayaan merupakan salah satu ciri peradaban yang penting. Setelah wujudnya masyarakat yang hidup menetap, sistem agama dan kepercayaan telah menjadi pegangan mereka yang mendiami petempatan tersebut. Sebelum kedatangan Islam ke Nusantara, masyarakat Melayu Lama mengamalkan kepercayaan animisme iaitu percaya adanya roh dan semangat pada sesuatu objek seperti batu, pokok dan gunung. Setelah agama Hindu dan Buddha diserap masuk ke Nusantara, masyarakatnya mula mengubah kepercayaan dan amalan mereka mengikut kesesuaian dalam agama tersebut. 

Sedikit demi sedikit amalan dan kepercayaan karut mereka terhadap animisme mula ditinggalkan. Dalam teks Sulalatus Salatin/ Sejarah Melayu, terdapat banyak pengaruh Hindu Buddha di dalamnya berikutan teks tersebut mula dikarang sewaktu Islam mula berkembang di Nusantara iaitu sekitar abad ke-15 dan ke-16. Pada waktu tersebut, unsur dan pengaruh Hindu Buddha masih kuat mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu Lama. Antara unsur Hindu yang boleh dilihat dalam teks Sulalatus Salatin ialah melalui watak-watak di dalamnya seperti Raja Khida Hindi, Nila Pahlawan, Nila Utama dan Seri Rama. 

Mereka juga mempercayai bahawa asal-asul Raja-raja di Melaka sebelum kedatangan Islam adalah bermula di Bukit Si Guntang. Mereka menganggap Bukit Si Guntang merupakan tempat dewa-dewa atau Tuhan seperti Vishnu dan Shiva tinggal dan dianggap suci. Buktinya boleh dilihat pada halaman 19 dalam teks tersebut di mana nama Bukit Si Guntang menjadi Bukit Si Guntang Mahamiru yang bermaksud bukit yang suci. 

Setelah kedatangan Islam ke Nusantara pada abad ke-15 dan ke-16, masyarakat Melayu Lama lebih berperadaban kerana telah mempunyai pegangan hidup yang benar. Menurut pandangan sesetengah sarjana masyarakat yang mempunyai peradaban ialah masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam berlandaskan al-Quran dan hadis. Masyarakat telah meninggalkan ajaran dan amalan Hindu Buddha. Dalam teks Sulalatus Salatin, bukti kedatangan Islam ke Nusantara dapat dilihat ketika Merah Silu iaitu pemerintah negeri Semundra bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W pada halaman ke 57. Dalam mimpi tersebut, Rasulullah telah bersabda yang berbunyi:

“Hei Merah Silu, ngangakan mulutmu. Maka dingangakannya oleh Merah Silu mulutnya maka diludahi Rasulullah. Maka Merah Silu pun jaga dari tidurnya, maka diciumnya bau tubuhnya seperti bau narwastu” (halaman 57)

Pada keesokan harinya, Merah Silu telah disuruh membaca ayat al-Quran dan baginda dapat membaca dengan lancar. Kemudian nama Merah Silu telah ditukar kepada nama Islam iaitu Sultan Maliku’s- Salleh. Oleh itu, Semundra telah menjadi negara Islam setelah pengislaman pemerintah dan diikuti rakyat jelata. Antara kepercayaan masyarakat Melayu Lama terhadap ajaran Islam ialah dari aspek perkahwinan. Contonya dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin pada halaman ke enam semasa perkahwinan antara Puteri Shahrul Bariyah dengan Raja Iskandar Zulkarnain yang berbunyi:

“Adapun isi kahwinnya tiga ratus ribu dinar emas, redakah tuan hamba?” 

Dalam perkahwinan tersebut, terdapat upacara akad nikah yang mengikut hukum syarak iaitu adanya wali dan mahar. Namun, terdapat juga amalan masyarakat Melayu Lama setelah kedatangan Islam yang masih dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu seperti adat berinai dan bersanding. Amalan tersebut telah sebati dalam dalam kehidupan mereka sehingga kini.

DAULAT, DERHAKA DAN WAAD

Konsep daulat, derhaka dan waad juga mempengaruhi kehidupan masyarakat yang mempunyai peradaban. Hal ini disebabkan masyarakat Melayu Lama amat tunduk dan patuh kepada perintah mereka iaitu Raja. Mereka berpegang kepada tiga konsep iaitu daulat, derhaka dan waad. Sekiranya mereka tidak patuh pada arahan dan membuat huru-hara, sesebuah negara itu tidak akan mencapai tahap negara berperadaban tinggi kerana rakyatnya sentiasa bergaduh dan bermusuh. Daulat telah meletakkan seorang raja berada lebih tinggi daripada rakyat. Oleh itu, raja tidak boleh dicela mahupun ditegur oleh rakyat biasa kerana tarafnya yang lebih tinggi itu. Segala perbuatan raja juga dianggap benar walaupun pada hakikatnya telah menyalahi undang-undang. 

Derhaka pula bermaksud ingkar serta melanggar arahan yang telah diperintahkan oleh pemerintah. Masyarakat Melayu Lama amat berpegang teguh pada pepatah ‘Melayu pantang derhaka’. Perkara ini dapat digambarkan dan dijelaskan melalui teks Sulalatus Salatin dalam suatu peristiwa di mana Hang Tuah tidak membantah apabila sultan menjatuhi hukuman bunuh terhadapnya. Hang Tuah dilihat sebagai seorang yang patuh pada perintah raja manakala Hang Jebat, iaitu sahabat baiknya talah dianggap derhaka kepada raja kerana dengan beraninya telah membantah dan membela Hang Tuah daripada dihukum bunuh. 

Waad juga sering dikaitkan dengan kehidupan masyarakat Melayu Lama yang bererti perjanjian taat setia terhadap seeorang pemerintah. Perjanjian tersebut biasanya dilakukan atas sebab untuk mengelakkan unsur-unsur pengkhianatan daripada berlaku dalam sistem beraja. Perjanjian ini dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin pada halaman ke-59 yang berbunyi:

“Ya tuan kami, demi Allah Taala, Tuhan yang menjadikan alam semesta sekalian alam, bahawa kami kedua ini yang diperhamba, sekali-kali tiada kami kedua ini mengubahkan waad dan setia kami akan bertuan raja yang lain daripada paduka anakanda kedua ini.” 

Petikan tersebut menggambarkan bahawa para pembesar serta rakyat akan sentiasa taat dan setia kepada pemerintah walaupun ditakdirkan pemerintah tersebut telah mangkat dan digantikan dengan warisnya. Mereka juga akan terus setia pada raja yang baru memerintah dan tidak akan sekali-kali mengkhianati serta berpaling tadah daripadanya. Biasanya pemerintah yang baik dan adil akan sentiasa mempunyai pengikut yang ramai dan taat kepadanya. 

Waad juga boleh dilihat berlaku dalam teks Sulalatus Salatin bab 2 yang bertajuk ‘Bersumpah Berteguh Janji’ antara raja dan rakyat iaitu antara Seri Teri Buana yang mewakili raja dan Demang Lebar Daun mewakili rakyat. Dalam waad ini, perjanjian antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun telah termaktub. Antara isi perjanjian waad ini ialah Demang Lebar Daun meminta agar sekiranya golongan rakyat melakukan kesalahan, janganlah dihina dengan kata-kata keji sebaliknya jika hukum bunuh itu sesuai dengan hukum syarak, maka lebih baik mereka dibunuh. Selain itu, Seri Teri Buana yang mewakili golongan raja juga membuat permintaan agar golongan rakyat jangan sesekali menderhaka kepada raja.

“Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Barang maklum duli tuanku Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku: jangan duli tuanku aibi” (halaman 25)

“Maka titah Seri Teri Buana, ‘Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga”(halaman 25)

Kesimpulannya, dengan adanya konsep pegangan masyarakat Melayu iaitu ‘daulat dan derhaka’, maka hal ini jelas menggambarkan peradaban masyarakat Melayu lama yang sangat taat setia serta patuh kepada raja.

SISTEM POLITIK DAN PEMERINTAHAN

Dari segi pemerintahan, pengarang menggambarkan pemerintah-pemerintah masyarakat melayu tradisional dalam sulalatus salatin seorang yang cekap, berwibawa dan amanah. Kegemilangan Melaka adalah melalui diplomasi, perkahwinan dan kekuatan. Pada peringkat permulaan, fokus pengarang adalah mengenai negeri Melaka dan raja-rajanya. Dengan itu lahirlah keperluan untuk memulakannya dengan satu asal-usul bermula daripada Sultan Iskandar Zulkarnain yang menjadi pancar kepada keturunan raja-raja besar dan tiba di Bukit Si Guntang dari negeri “dalam laut”. Di sini, dilahirkan pula satu pihak yang lain iaitu asal-usul pihak rakyat (Bendahara) Demang Lebar Daun yang juga adalah seorang raja dari Palembang. Di antara mereka ini, terikat satu ikatan janji (wa’dat) yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya kerajaan yang mereka kendalikan bersama seterusnya. Kejatuhan Singapura adalah merupakan satu gambaran betapa benarnya perjanjian ini. Kejatuhan Singapura itu pula telah membuka pintu Melaka yang teguh dan mashyur itu diperintah oleh keturunan raja-raja yang digambarkan oleh pengarang sebagai mempunyai peranan yang tertentu. Asal keturunan mereka diperjelaskan kesahihannya. Dari Raja Iskandar Zulkarnain hinggalah kepada sultan Ahmad, pengarang cuba menggambarkan kebesaran raja-raja, sama ada melalui mitos dan lagenda, malah juga dalam hubungan diplomatik seperti hubungan Melaka dengan China atau Majapahit.

Dari awal hingga akhir karya ini, Melakalah yang menjadi fokus pengarang. Melaka bukan sekadar sebuah negara kota yang terkenal dalam bidang perdagangan tetapi merupakan sebuah kerajaan yang memiliki pengaruh dan kekuatan pada satu jangka waktu yang panjang. Pengaruh itu diluaskan melalui peperangan dan perkahwinan. Jadi, tidaklah menghairankan apabila kerajaan yang jauh dan besar seperti Siam, China, dan Majapahit terpaksa mengiktiraf kedaulatan Melaka. Kekuatan, pengaruh, kedaulatan dan kesucian Melaka adalah berpunca dari faktor keturunan. Hanya asal-usul yang baik sahaja dapat melahirkan keturunan bermartabat tinggi. Dalam Sulalatus Salatin, pengarang sengaja membina gambaran mitos dan lagenda yang amat kuat mengenai asal usul keturunan raja-raja Melaka. Kesucian keturunan Iskandar Zurkarnain ini dipancarkan secara fizikal dengan menggambarkan berbagai tanda kebesaran. Umpamanya padi yang menjadi emas, daunnya menjadi perak, dan batangnya pula menjadi tembaga ketika anak-anak raja Suran muncul di Bukit Siguntung. Salah seorang raja Melaka pula bermimpi bertemu Nabi Muhammad dan langsung diislamkan serta tiba-tiba menjadi Al-Quran.

Selain itu, pemerintah Melaka digambarkan oleh penulis sebagai pemerintah yang cekap dan berwibawa. Misalnya Sultan Mansur Syah, semasa pemerintahannya, beliau digambarkan sebagai sultan yang membawa kepada kegemilangan Melaka. Apabila mangkatnya Sultan Muzaffar, anaknya Raja Abdullah menggantikan tempat beliau dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Dengan tapak yang telah dibina kukuh oleh bapanya, Sultan Mansur sekadar menyambung usaha-usaha untuk membangunkan Melaka serta menaik taraf negeri itu ke puncak kegemilangannya. Beliau menaiki takhta ketika berusia 27 tahun, suatu usia yang paling ideal untuk memikul beban memerintah negaranya. Dengan usia itu, beliau mampu menjalankan tugasnya dengan penuh wibawa dan penuh bertenaga.

Dalam zaman pemerintahannya juga, beliau bernasib baik kerana mempunyai pembantu-pembantu yang cekap dan handal seperti Bendahara Paduka Raja Tun Perak serta Laksamana Hang Tuah berserta sahabat-sahabatnya. Tidak mustahil bagi beliau untuk menggerakkan Melaka menjadi sebuah kuasa besar baik dalam bidang ketenteraan mahupun bidang-bidang lain seperti perdagangan dan diplomasi. Hubungan luar negeri Melaka menjadi semakin rancak dengan adanya beberapa dasar seperti dasar menakluk negeri-negeri kecil yang berada di sekitar alam melayu, dasar hubungan perkahwinan seperti dengan China dan Majapahit serta dasar perdagangan dan perkembangan ilmu terutamanya ilmu agama.

Sifat fizikal Sultan Mansur diperkukuhkan pula dengan kuasa daulat nya yang amat kuat sehinggakan Raja China yang terkena tulah, hanya boleh sembuh apabila santap air basuh kaki Sultan Mansur (SS,1979:136). Beliau menjalankan tugas dengan begitu tegas, sehinggakan jika bendahara sekalipun yang membuat salah, beliau akan jadi murka (SS,1979:169). Malah beliau juga pernah menitahkan supaya Hang Tuah dihukum bunuh setelah mendapat tahu akan keingkaran Hang Tuah akibat hasutan dan fitnah.

Sultan Mansur juga terkenal dengan tabiatnya suka berkahwin ramai. Dalam Sulalatus Salatin, beliau telah berkahwin sebanyak enam kali iaitu dengan Tun Putih, Puteri Onang Sari, Raden Galuh Cendera Kirana, Puteri Hang Liu, seorang saudara bendahararaja paduka raja dan seorang gundik. Perkahwinan-perkahwinan tersebut sebenarnya mempunyai tujuan diplomasi dan ternyata berkesan dalam menyemarakkan hubungan perpaduan sama ada dalam negeri mahupun luar. Beliau mempunyai pandangan yang jauh serta menunjukkan kepakaran dalam bermain politik. Dengan negeri Pasai umpamanya, beliau tidak cuba menimbulkan pergeseran tetapi disebaliknya menggunakan kesempatan mendalami ilmu agama dengan menghantar perutusan ke negeri tersebut untuk mengatasi beberapa kemuskilan. Pasai pada waktu tersebut terkenal dengan ulama-ulama yang hebat dan berilmu tinggi.

Sehingga ke akhir hayatnya, Sultan Mansur masih lagi memikirkan tentang soal masa depan kerajaannya dan ini terbukti apabila beliau meninggalkan wasiat kepada para pembesar negeri supaya menjaga anaknya Raja Hussin yang bakal menjadi penggantinya serta mempertaruhkan anaknya itu di tangan pembesar kerana “ia budak yang bebal,tiada tahu istiadat” (SS1979:171).

Perkara ini dapat dilihat pada kehebatan Sultan Alauddin menghapuskan sendiri pencuri-pencuri yang berleluasa di Melaka (SS, 1979:175). Tindakannya itu telah berjaya mengamankan semula negeri Melaka.

Oleh itu, dengan adanya sistem politik dan pemerintahan yang cekap maka hal ini jelas menggambarkan peradaban masyarakat Melayu lama telah berkembang seiring dengan puncak ketamadunan.

KESIMPULAN

Teks Sejarah Melayu Sulalatus Salatin sememangnya menggambarkan ciri-ciri peradaban yang menjadi tunjang utama pembentukan sesebuah tamadun terutamanya bagi masyarakat Melayu lama. Mereka menjadikan ciri-ciri tersebut sebagai batu loncatan untuk mengembangkan dan meningkatkan tamadun Melayu. Oleh itu, teks Sejarah Melayu Sulalatus Salatin sememangnya boleh diangkat martabatnya sebagai satu teks yang jelas membicarakan tentang peradaban masyarakat Melayu lama.

BIBILOGRAFI 

Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh(1978) : Sejarah Melayu Satu Perbincangan Kritis Dari Pelbagai Bidang.Kuala Lumpur. Heinemann Educational Books(ASIA) Ltd.

A.Samad Ahmad(2009): Sulalatus Salatin(Sejarah Melayu).Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Pustaka

Wan Abd Kadir(2007):Masyarakat dan Budaya Melayu(Tradisi dan Perubahan).Pustaka Ilmu

Muhammad Yusuf Hashim(1998):Hikayat Melayu/Sulalatus Salatin.Melaka.Institut Kajian Sejarah dan Patriotesme

Dewan Bahasa Dan Pustaka(2005):Kamus Dewan Edisi Keempat

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute