[VIDEO] TUN DR. ISMAIL

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara [http://sejarah-tunsheikh.blogspot.com]

Tun Dr. Ismail Bin Dato' Abdul Rahman Wira Negara
Contoh Pemimpin Tegas & Jujur Ke arah Perpaduan & Keharmonian

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia Kedua. Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia Kedua oleh YAB Tun Abdul Razak pada 22 September 1970. Semasa MAGERAN melaksanakan dasar pentadbiran dan pemerintahan negara ketika darurat pada Mei 1969-Februari 1971, Tun Dr. Ismail menjawat Timbalan Pengarah MAGERAN. Beliau juga merupakan seorang tokoh profesional dan politik Melayu yang turut serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.

Tun Dr. Ismail ialah anak watan negeri Johor. Beliau dilahirkan pada 4 November 1915 di Johor Bahru dari sebuah keluarga elit, berpendidikan tinggi dan mempunyai banyak harta. Bapanya, Dato’ Abdul Rahman bin Mohd Yassin telah bermastautin di Johor Bahru kerana menjawat jawatan tinggi Kerajaan Negeri Johor. 

Antara jawatan yang pernah disandang oleh bapanya ialah sebagai kerani, pesuruhjaya daerah, majistret dan bendahari negeri. Di peringkat kebangsaan, bapanya ialah Speaker Dewan Negara yang pertama. Dato’ Abdul Rahman terkenal sebagai seorang tokoh Melayu Johor yang telah menubuhkan Persatuan Melayu Johor menentang Malayan Union. Beliau juga ialah ketua Orang Tujuh yang menuntut Sultan Ibrahim meletak jawatan sebagai Sultan Johor kerana menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union 1946 yang bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Dato’ Abdul Rahman dan bapanya Mohd Yassin berasal dari Parit Bakar Muar Johor. Parit Bakar terletak dalam kawasan yang dulunya terkenal sebagai Padang sebelum Bandar Maharani dibuka pada 1884. Padang diperintah oleh ketua tradisional Melayu bergelar Orangkaya yang terdiri dari kaum karabat Mohd Yassin. 

Mohd Yassin ialah anak kepada Orangkaya Abdul Rahman, Orangkaya Setia Minyak Beku III. Keluarga beliau berasal dari keturunan Raja Melayu Bugis Campa yang terkenal di Padang Muar sejak dari Kesultanan Melayu Melaka. Mereka merupakan keluarga pentadbir yang menyara hidup daripada sumber perkebunan dan perdagangan dan sangat menitikberatkan pelajaran. Datuk nenek moyang Tun Dr Ismail di Padang dan di Batu Pahat adalah pembesar daerah atas titah atau pelantikan Sultan. 

Moyang Tun Dr. Ismail di Batu Pahat iaitu Abdul Rahman bin Ismail bergelar Orangkaya Setia Minyak Beku III, Batu Pahat pada 1862-1881. Bapa kepada Abdul Rahman iaitu Orangkaya Ismail bin Orangkaya Ahmad pula ialah Orangkaya Setia Minyak Beku II pada 1855-1862 dan bapa Orangkaya Ismail iaitu Ahmad bin Daing Abdul Rahman menjadi Orangkaya Setia Minyak Beku I pada 1811-1855. Daing Ahmad adalah daripada keturunan Daing Indera Perma Paso berasal dari Sulewasi. Banyak saudara beliau menjadi Orangkaya Muar atau Padang. 

Daing Abdul Rahman telah dihantar dan disaran oleh saudaranya, Orangkaya Muar mengetuai masyarakat Melayu Bugis dan orang-orang Selat atau Seletar di Minyak Beku setelah berjaya melumpuhkan kegiatan lanun di perairan Batu Pahat. Pada mulanya mereka menjunjung kedaulatan Sultan Melaka kemudian Sultan Johor Pahang dan terakhir kepada Temenggong Johor yang kemudiannya menjadi sultan pada tahun 1885.

Keturunan Tun Dr. Ismail mempunyai hubungan rapat dan bercantum dengan nenek moyang Tan Sri Noah, Tun Dr. Awang Hassan dan Orangkaya-Orangkaya Muar. Mengikut sejarah, pusat pemerintahan datuk nenek moyang mereka yang telah dikurniakan oleh Sultan Melaka kepada anak raja Melayu keturunan Bugis Campa ialah di Bukit Makmur atau Bukit Mor, Muar. Sejak itu, keluarga ini turun-temurun memerintah kawasan bernama Padang dan sekitarnya.

Tun Dr. Ismail mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Bukit Zaharah, Johor Bahru. Seterusnya beliau menuntut di English College, (Maktab Sultan Abu Bakar). Kemudian, beliau dihantar oleh bapanya melanjutkan pelajaran di bidang perubatan di Kolej King Edward VII, Singapura pada tahun 1935-1937, tetapi beliau tidak berjaya menamatkan pengajian kerana kurang meminati bidang perubatan yang ditentukan oleh bapanya.

Bapanya, Dato’ Abdul Rahman merupakan seorang yang sangat menitikberatkan pelajaran keluarga hingga ke peringkat tertinggi. Beliau menghendaki anak-anaknya berkelulusan daripada pelbagai bidang profesional selain peguam. Ketika itu, kerjaya peguam merupakan trend dan kebanggaan keluarga elit. Dato’ Abdul Rahman memilih anaknya Tun Dr. Ismail mempelajari ilmu perubatan kerana bersesuaian dengan sikap beliau yang agak pendiam , tegas, cekap dan cepat membuat keputusan dan tindakan. Dr. Ismail pula meminati bidang perundangan dan bercita-cita untuk menjadi peguam seperti bapa dan abangnya, Sulaiman.

Adik-beradik Tun Dr. Ismail selain Dato’ Sulaiman ialah Khadijah, Abdullah, Aishah, Md Yassin, Rafiah, Zubaidah dan Fatimah. Semua adik-beradik beliau berpelajaran tinggi dan menyumbangkan perkhidmatan kepada masyarakat awam. Abangnya, Sulaiman ialah salah seorang anggota Kumpulan Tujuh dan pemimpin UMNO berijazah undang-undang dari Universiti Cambridge dan pernah menjadi Menteri Kabinet dan Persuruhjaya Malaysia ke Australia. Begitu juga dengan yang lain seperti Senator Abdullah, Dr. Zubaidah, YB. Md Yassin dan Fatimah.

Walaupun gagal untuk menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Singapura, Tun Dr. Ismail tetap berkobar-kobar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di England, tetapi tidak mendapat biasiswa kerana beliau daripada keluarga berada. 

Bapanya pula tidak bersetuju beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Bapanya hanya bersetuju membiayai pelajaran Tun Dr. Ismail sekiranya beliau sanggup melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Australia. Beliau akur dengan kehendak bapanya. Beliau berjaya malah menjadi pelajar yang sangat tekun dan gigih. Tun Dr. Ismail merupakan pelajar Melayu pertama yang lulus dalam bidang perubatan di Australia.

Penglibatan Tun Dr. Ismail dalam persatuan pelajar ketika di Singapura dan di Australia telah menampilkan ketokohan dan pemikiran beliau terutamanya terhadap kemajuan pendidikan dan perpaduan Melayu. Setelah tamat pengajiannya di Universiti Melbourne, Australia pada tahun 1945, beliau telah berkhidmat di Hospital Tentera Australia. 

Setelah perang tamat, beliau kembali ke tanah air pada 1947 dan berkhidmat dengan kerajaan Johor sebagai pembantu pegawai perubatan di Hospital Johor Bahru sehingga 1948. Beliau telah melepaskan jawatannya dan membuka klinik sendiri bernama Klinik Tawakal di Johor Bahru kerana aktif dalam persatuan dan tidak suka terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Johor. Pada ketika itu beliau juga dipengaruhi oleh keadaan bapa dan keluarganya serta ahli Kumpulan Orang Tujuh yang telah dipecat oleh sultan.

Tun Dr. Ismail telah mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Norashikin binti Dato’ Mohd. Seth, anak salah seorang pembesar Johor pada tahun 1950. Mereka telah dikurniakan enam orang anak, empat orang lelaki dan dua orang perempuan iaitu Mohd. Taufik (1951), Zailah (1953), Badariah (1957), Mohd. Tarmizi (1960), Zamkhasani (1964) dan Mohd. Arif (1967). Dato’ Mohd. Seth, bapa Toh Puan Norashikin merupakan salah seorang daripada ahli rombongan yang menuntut kemerdekaan 1956 di London sebagai mewakili Sultan Johor.

Tun Dr. Ismail mewarisi sifat keyakinan diri yang tinggi dan suka berdikari. Beliau menjalankan perniagaan dengan membuka kelinik perubatan sendiri yang dinamakan Klinik Tawakal. Beliau suka membantu orang miskin dan yang kurang bernasib baik terutamanya dalam bidang pendidikan dan kesihatan. 

Penglibatan aktif beliau dalam persatuan bukan politik seperti Persatuan Bekas Mahasiswa Luar Negeri Johor atau Persatuan Siswazah Melayu Johor yang ditubuhkannya, mendorong beliau dilantik menganggotai Dewan Undangan Negeri Johor pada tahun 1948 dan seterusnya sebagai EXCO Kerajaan Negeri Johor. Beliau hanya menceburkan diri dalam parti politik atas permintaan bapanya. Beliau bersama-sama dengan bapa dan keluarga besarnya serta ahli-ahli Persatuan Melayu Johor yang diketuai oleh bapanya sendiri menganggotai UMNO pada 1951 setelah Dato’ Onn meninggalkan parti itu.

Pada tahun 1952, Tun Dr. Ismail dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap tanah, lombong dan perhubungan. Pelantikannya selaku ahli kabinet kepada Tun General Templer adalah atas permintan YM Tunku Abdul Rahman. Pada Julai 1955 beliau telah bertanding dalam Pilihanraya Persekutuan Pertama dan menang di Kawasan Johor Timur. Berikutan dengan kemenangan itu, beliau dilantik menjadi Menteri Hasil Bumi dalam Pemerintahan Kerajaan Bersendiri dan pada 1956 menjadi Menteri Perdagangan dan Perusahaan Malaya yang pertama.

Tun Dr. Ismail ialah seorang tokoh pemimpin Melayu yang berprinsip dan setia. Beliau merupakan salah seorang pemimpin kepercayaan YM Tunku Abdul Rahman. Beliau dan Tun Abdul. Razak sentiasa bersama-sama dalam perbincangan untuk menuntut kemerdekaan negara sehingga berjaya diperoleh pada 31 Ogos 1957.

Pada September 1957, Tun Dr. Ismail dilantik menjadi Duta Persekutuan Tanah Melayu bertaraf menteri ke Amerika Syarikat di samping menjadi Ketua Tetap dan Wakil Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa-Bangsa Bersatu hingga Februari 1959. Kemudian, beliau menjadi Menteri Hal Ehwal Luar Negeri pada bulan Ogos 1959 dan menjadi Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri pada November 1960.

Beliau telah menyumbangkan banyak jasa dan memainkan peranan penting ketika pembentukan Malaysia dan menjadi Menteri Keselamatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Keadilan setelah Malaysia dibentuk pada 16 September 1963. Beliau juga bertangggongjawab menubuhkan ASEAN dan mewujudkan persefahaman Zon Bebas ASEAN dari segala pengaruh dan campurtangan kuasa tentera asing dan ideology. 

Beliau terus gigih berkerja meskipun kesihatannya kerap terganggu kerana mengidap barah dan sakit jantung. Kesihatannya bertambah parah apabila berlaku perpisahan Singapura dari Malaysia pada Ogos 1965. Beliau telah bersara awal pada 1 Jun 1967 kerana masalah kesihatan yang bertambah buruk dan memaksa beliau mengikuti rawatan dan berehat.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, beliau berasa amat bersemangat untuk menyumbangkan bakti semula tanpa menghiraukan masalah kesihatannya. YAB Tun Abdul Razak pula sangat mengharapkan kesediaan beliau menyambung tugas kerana beliau ialah seorang tokoh pemimpin Melayu yang sangat ikhlas, jujur, taat, serius dan tegas serta cekap dan mempunyai pandangan jauh yang sangat penting untuk perpaduan dan keharmonian sebuah negara bangsa. 

YAB Tun Abdul Razak telah memujuk beliau menganggotai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) berikutan dengan perisytiharan Darurat 1969. Di samping itu, beliau juga dilantik menjadi Penolong Pengarah dalam Majlis Perundingan Negara. Majlis ini berperanan untuk memberikan nasihat kepada MAGERAN tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan perhubungan kaum. Bertitik tolak daripada hakikat tersebut, maka dicipta RUKUNEGARA. Satu lagi yang diputuskan oleh Majlis Perundingan Negara ialah Dasar Ekonomi Baru.

Sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tun Dr. Ismail merupakan seorang yang tegas dalam membanteras gejala rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan. Pada 23 Februari 1970, beliau telah mengumumkan satu rang undang-undang tambahan bagi Badan Pencegah Rasuah (BPR) iaitu Ordinan No. 23 Kuasa Perlu Darurat 1970 dikuatkuasakan. 

Selaku Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail telah memberikan sokongan yang kuat terhadap Rang Undang-undang (Pindaan Perkara Sensitif) Perlembagaan di parlimen yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak pada 23 Februari 1971.

Dalam susunan kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1 Januari 1973, Tun Dr. Ismail terus diamanahkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri di samping Menteri Perdagangan dan Perusahaan. Dalam menghadapi sesuatu isu yang berkaitan dengan kepentingan negara, beliau sangat tegas menyebabkan beliau sangat dihormati oleh kawan dan pihak lawan.

Ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail telah beberapa kali menanggung kerja dan memangku tanggungjawab dan tugas Perdana Menteri ketika YAB Tun Abdul Razak ke luar negeri sama ada bercuti atau melakukan lawatan rasmi. Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang sehingga ke akhir hayatnya.

Pada hari Khamis, 2 Ogos 1973, adalah merupakan hari terakhir beliau sebagai seorang negarawan. Beliau sempat merasmikan perayaan Jubli Perak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada pukul 4.22 petang. Pada pukul 10.00 malam, Tun Dr. Ismail telah menghembuskan nafas yang terakhir di rumahnya No. 22, Jalan Maxwell, Kuala Lumpur. Pada hari Jumaat, 3 Ogos 1973, jenazah beliau telah disembahyangkan di Masjid Negara selepas upacara sembahyang Jumaat. Jenazah Tun Dr. Ismail telah dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara pada pukul 6.30 petang. Kini, sudah tiga puluh lapan tahun perginya seorang tokoh negarawan yang amat berjasa. Negara amat merasa kehilangannya, seorang tokoh pemimpin yang sangat berdisiplin, tegas, berprinsip, ikhlas dan jujur.

Bibliografi :

1. Abu Bakar Hamid, Md. Ismail Zamzam (ed), Pejuang Terbilang Johor, Yayasan Warisan Johor, 2002.

2. Abu Bakar Hamid, Md. Ismail Zamzam (ed), Tokoh Ternama Johor, Yayasan Warisan Johor, 2003.

3. Abu Bakar Hamid, Md. Ismail Zamzam (ed), Johor Mengabdikan Baktimu, Yayasan Warisan Johor, 2005.

4. Abu Bakar Hamid, Md. Ismail Zamzam, Kamdi Kamil (ed), Johor Mengenang Sumbangsihmu, Yayasan Warisan Johor, 2006.

5. Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Pustaka Antara : Kuala Lumpur, 1981.

6. Jabatan Penerangan Malaysia, Biographical Note of Tun Dr. Ismail bin Dato Haji Abdul Rahman, Kuala Lumpur, 1971.

7. Mohd. Tajuddin Hj. Abd. Rahman, Tun Dr. Ismail Negarawan Bangsa, Pelanduk Publications : Kuala Lumpur, 1987.

8. P. Lim Pui Huen, 1855 – 1957 Local History, Local Landscapes, Straits Times Press: Singapore, 2009.

9. Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris, 25 Tahun Merdeka, Pustaka Antara : Kuala Lumpur, 1981.

10. Rentetan Perjuangan Bangsa, MK Direct Sdn. Bhd. : Selangor, 2005.

11. Katalog Bahan-Bahan Sudut Wira Tun Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman Edisi II, Arkib Negara Malaysia : Kuala Lumpur, 2000.

12. Ramlah Adam, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra, Dewan Bahasa & Pustaka: Kuala Lumpur, 2004.

13. Yusof Harun, Tunku Idealisme Dalam Kenangan, Yayasan Bumiputera: Pulau Pinang, 1991.

14. 50 Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan 1956-2006, Arkib Negara Malaysia: Kuala Lumpur, 2007.

Responden

1. Hj. Mustapha Meon@Mus Onn –Lahir 9 April 1933

Bekas Wartawan Utusan Melayu 1957-1979. Beliau pernah bertugas mendampingi Tun Dr. Ismail untuk mendapat berita-berita langsung.

Ahli Jawatankuasa Penerbitan dan Penerangan Persatuan Sejarah Malaysia Batu Pahat 2008/2009.
Tarikh dan Tempat Temubual: 10.00 pagi, 23 Mac 2009 di Pejabat Persatuan Sejarah Malaysia Batu Pahat.

2. Hj. Abdullah Dato’ Mohd. Noor – Lahir 7 Februari 1933

Bekas pesara (1988) pegawai perkeranian kerajaan negeri Johor yang telah berkhidmat selama 31 tahun dan mengenali keluarga Dato’ Abdul Rahman di Batu Pahat.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Batu Pahat 2008/2009

Tarikh dan Tempat Temubual: 10.00 pagi, 23 Mac 2009 di Pejabat Persatuan Sejarah Malaysia Batu Pahat.

3. Tan Sri Ghazali Mohd. Seth – Lahir 1935

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Anak kepada Dato. Mohd Seth dan adik ipar Tun Dr. Ismail

Tarikh dan Tempat Temubual: 9.00 pagi, 26 April 2009 di Pejabat Sekuriti KL Central.

Lain-lain Sumber

1. Siri Pengkisahan Sejarah Tokoh Wira Negara
Memorial Tun Hussein Onn
Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur
12 Ogos 2009

2. Bicara Tokoh Tun Dr. Ismail
Galeria Perdana Memorial Tun Hussein Onn
Arkib Negara Malaysia
28 Februari 2008

3. Koleksi Gambar-gambar Tun Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman
Kompass Arkib Negara Malaysia
Koleksi Ucapan dan Monograf Tun Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman
Arkib Negara Malaysia

Post a Comment

1 Comments

  1. Sedih betul membaca biografi Allahyarham Tun Dr. Ismail ini, Pena Minang.

    Besar kemungkinan juga, BAPA-BAPA KEMERDEKAAN/PEMBANGUNAN tercinta Tanah Melayu kita ini, Allahyarham-Allahyarham PM Tun Abdul Razak Hussein dan TPM Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, diracuni CIA-MI6-Mossad (keduanya meninggal di tahun 1973 dan 1976 di usia muda 50an, dari kanser termasuk Leukimia, yang juga sejenis kanser dalam darah atau tulang, dengan seorang doktor British yang SAMA, dgn. bantuan PENGKHIANAT tempatan). Barat-Israel juga adalah sekutu kuat PAP-DAPBANGKAI pd. masa itu. Kanser/sakit jantung dsbnya, juga telah dibuktikan sebagai MO utama PENJAJAH Barat-Zionis diketuai CIA-MI6-Mossad untuk menghapuskan pejuang Islam/Bumiputera yang nationalis di “ Dunia Ketiga“ (dan sekarang terutamanya pemimpin Islam yang nasionalis) - sila lihat di - http://www.globalresearch.ca/the-cia-has-attempted-to-assassinate-50-foreign-leaders-including-chavez/5326864, The CIA has Attempted to Assassinate 50 Foreign Leaders Including Chavez, Global Research, March 15, 2013; dan di - http://imeu.net/news/article0024562.shtml, Israel's History of Assassinating Palestinian Leaders, The IMEU, Nov 6, 2013!

    Allahyarham-Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail juga adalah musuh utama Cina DAPBANGKAI-PAP dan penajanya, penjajah Barat-Zionis, kerana mereka begitu TEGAS menjatuhkan Cina DAP yang merusuh dengan GANAS dalam Mei 1969 (juga disyaki didalangi PAP-Gerakan-CIA/MI6/Mossad – lihat di http://rainbowoftruth.blogspot.com/2009/09/singapore-israel-love-affair.html, THE SINGAPORE ISRAEL LOVE AFFAIR, September 2, 2009). Dan juga kerana BAPA-BAPA KEMERDEKAAN/PEMBANGUNAN tercinta kita ini melancarkan DEB, FELDA, RISDA, PETRONAS, MARA dsbnya, yg.memperjuangkan hak Bumiputera Islam/Melayu dan Bumiputera lain, dengan amat BERANI dan TEGAS.

    Makcik Sambal Belacan - sayu terkenang lagu “Insan Dan Bunga“ dr. suara sungguh merdu dan sopan, Allahyarham Tiar Ramon, saudara se ISLAM/se BUMIPUTERA kita dari Alam Melayu, penyanyi dan pencipta Legenda Minangkabau 1961-2000, dr. Sumatera Barat, yg. membawakan lagu-lagu Minang-Melayu.

    ReplyDelete

بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ الرَّØ­ِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.