ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Thursday, 14 August 2014

KHALID IBRAHIM PERLU BUBARKAN DUN - ZULKFILI NORDIN

Oleh : Zulkifli Bin Noordin

Salam 2 all.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh PKR dan DAP, termasuk memecat Tan Sri Khalid sebagai ahli PKR, namun kelihatannya kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor tidak tergugat apabila beliau masih mendapat perkenan Tuanku Sultan Selangor dan menerima sokongan empat Exco daripada PAS dan sokongan PAS dan UMNO untuk terus menjawat jawatan Menteri Besar.

Dalam keadaan ini, jalan keluar paling efektif bagi pakatan songsang DAP-PKR ialah mengadakan Undi Tidak Percaya terhadap Tan Sri Khalid didalam DUN yang bersidang. Tetapi keadaan seperti terikat kerana Tan Sri Khalid ada 28 ADUN (PAS 15, BN 12 dan Bebas 1), manakala DAP-PKR juga ada 28 ADUN (DAP 15, PKR 13).

Jadi apa senario yang boleh berlaku apabila DUN Selangor dipanggil bersidang untuk pembentangan Usul Khas Undi-Tidak-Percaya keatas Tan Sri Khalid Ibrahim, YAB ADUN Pelabuhan Klang sebagai Menteri Besar Selangor?

Jumlah keanggotaan DUN Selangor masakini adalah 15 PAS, 15 DAP, 13 PKR, 12 BN dan seorang Bebas menjadikan 56. Bagi membolehkan mana-mana Usul diluluskan, pihak pengemuka usul memerlukan sekurang-kurangnya kelebihan 1 undi.

DAP dan PKR yang menyokong Usul Khas tersebut hanya mempunyai 27 undi memandangkan seorang ADUN telah dilantik menjadi Yang DiPertua Dewan dan dua ADUN mereka sebagai Timbalan Yang DiPertua Dewan.

Ini adalah kerana mengikut peraturan mesyuarat DUN, mana-mana YDP Dewan atau Timbalan YDP Dewan yang mempengerusikan mesyuarat sebagai Speaker tidak boleh mengundi kecuali dalam keadaan undi terikat sama-sama. Ini bermakna bila DUN bersidang, pakatan songsang DAP-PKR hanya mempunyai 27 undi walaupun mereka ada 28 ADUN.

Manakala PAS yang mempunyai 15 ADUN yang membantah Usul Khas tersebut disokong oleh 12 ADUN BN dan seorang ADUN Bebas menjadikan jumlah undi 28.

Ini bermakna atas kertas Usul Khas tersebut kemungkinan boleh ditolak kerana kekurangan 1 undi majoriti. Jadi apa strategi yang pakatan songsang DAP-PKR boleh gunakan untuk memastikan mereka menang? Jawapannya ialah senjata terakhir yang ada pada mereka: SPEAKER!

Sebaik sahaja loceng dibunyikan dan Dewan dipanggil untuk bersidang dan segala upacara rasmi diselesaikan, maka dibawah undang-undang, orang yang paling berkuasa didalam DUN pada masa itu ialah Speaker.

Tiada siapa boleh menyentuh beliau, dan segala keputusan beliau semasa mempengerusikan persidangan DUN adalah muktamad dan tidak boleh dicabar didalam mana-mana Mahkamah.

Maka sebaik sahaja persidangan bermula, Speaker boleh membaca suatu Usul meminta YAB Pelabuhan Klang (Tan Sri Khalid Ibrahim) yang juga Menteri Besar yang diperkenan Tuanku dan empat orang ADUN yang juga anggota Exco daripada PAS iaitu ADUN Cempaka (Iskandar Abdul Samad), ADUN Sijangkang (Ahmad Yunus Hairi), ADUN Selat Klang (Halimah Ali) dan ADUN Sabak (Sallehin Mukhyi) untuk memperjelaskan kedudukan mereka.

Speaker boleh menyatakan bahawa pada pandangan beliau mereka telah menyalahgunakan kedudukan sebagai ADUN dengan membentuk sebuah Kerajaan haram dengan dakwaan kononnya ADUN Pelabuhan Klang mempunyai sokongan majoriti untuk terus menjadi MB sedangkan terbukti melalui sidang media pada 13.08.2014 bahawa ADUN Kajang yang juga Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail kononnya mempunyai majoriti 30 ADUN (15 DAP, 13 PKR dan 2 PAS).

Walau apa pun penjelasan yang akan atau boleh dikemukakan oleh ADUN Pelabuhan Klang dan keempat-empat ADUN yang juga Exco Kerajaan Negeri tersebut, Speaker boleh membuat keputusan menggantung keahlian mereka mungkin atas alasan kerana menghina Dewan kerana menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai ADUN untuk membentuk sebuah Kerajaan haram tanpa merujuk kepada DUN, atau atas apa alasan sekalipun.

Mengikut peraturan mesyuarat, mana-mana ADUN yang digantung tidak boleh mngundi! Dan keputusan Speaker itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar dimana-mana Mahkamah!

Apabila 5 ADUN ini digantung, secara automatik PAS akan kehilangan 4 ADUN menjadikan jumlah mereka hanya 11, dan seorang ADUN Bebas juga hilang kelayakan mengundi. Berdasarkan cempua itu, gabungan undi ADUN PAS dan BN hanya tinggal 23.

Apabila ini berlaku, Usul Khas untuk Undi-Tidak-Percaya kepada YAB ADUN Pelabuhan Klang sebagai Menteri Besar Selangor pasti boleh diluluskan berdasarkan 27 undi pakatan songsang DAP-PKR yang menyokong, manakala 23 ADUN PAS-BN yang menentang, iaitu majoriti 4 undi.

Usul kemudiannya boleh dibawa untuk memohon perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk melantik ADUN Kajang sebagai MB dan pasti boleh diluluskan dengan 27 undi menyokong dan 23 undi menentang.
Ini bermakna kedudukan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor sebenarnya masih belum terjamin. Jadi adalah penting untuk Tan Sri Khalid memperkukuhkan kedudukan dengan mengajak mana-mana ADUN PKR atau DAP untuk menyokong beliau.

Dalam keadaan tiada penentuan muktamad, saya berpendapat jalan terbaik untuk Tan Sri Khalid ialah memohon perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk membubarkan DUN Selangor supaya rakyat Selangor diberi hak untuk menentukan siapa yang mereka mahu menjadi Menteri Besar dan membentuk Kerajaan Selangor.

Persoalannya ialah, dalam keadaan kesamaran politik ini, adakah patut rakyat Selangor termasuk khususnya parti UMNO/BN dan PAS bersedia dan membuat persediaan untuk menghadapi satu Pilihanraya Negeri?

Pada saya, jawapannya ialah UMNO/BN dan PAS harus bersedia mulai sekarang untuk menghadapi suatu Pilihanraya Negeri Selangor yang boleh berlaku bila-bila masa!

Wallahua'lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias senor.
Khamis 
18 Syawal 1435 bersamaan 14 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute