MAKAM RASULULLAH AKAN KEKAL PADA TEMPAT ASALNYA SEHINGGA HARI KIAMAT - ISESCO

Pelan sebenar projek pembesaran Masjidil Nabawi
KUALA LUMPUR, 4 September 2014 - Berita mengenai rancangan pemindahan makam Nabi Muhammad S.A.W yang disiarkan oleh akhbar Britain 'The Independent' adalah suatu pembohongan, kata Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Islam (ISESCO).

Dalam siaran akhbar yang dihantar kepada Bernama hari ini, ISESCO yang berpangkalan di Rabat, Mahgribi, mengecam sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas dalam artikel ditulis oleh wartawan akhbar itu, Andrew Johnson.

Akhbar itu pada hari ini menyiarkan artikel itu yang menyebut cadangan kontroversi itu terkandung dalam satu dokumen kajian yang disediakan oleh seorang tokoh akademik Arab Saudi.

Laporan itu menyebut makam Nabi Muhammad ï·º akan dipindahkan daripada kedudukannya sekarang dalam Masjid al-Nabawi di Madinah ke kawasan perkuburan Baqi yang terletak berdekatan masjid itu dan pihak berkuasa Arab Saudi sedang berbincang berhubung cadangan itu.

ISESCO berkata laporan tidak bertanggungjawab itu merupakan suatu pembohongan besar berpunca daripada rasa benci dan konspirasi terhadap umat Islam dan kerajaan Arab Saudi yang menjadi tuan rumah kepada tempat-tempat suci Islam.

Tuduhan palsu itu juga bertujuan untuk mewujudkan kekeliruan dan kekacauan yang mampu mengancam keselamatan dan perpaduan serta memburukkan lagi keadaan di rantau ini di mana peperangan dan keganasan antara agama berlaku, menurutnya.

ISESCO menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya tidak mempercayai tuduhan jahat itu dan berkata makam Rasulullah ï·º akan kekal di tempat mulianya sehingga hari kiamat.

ISESCO juga menuntut pihak berkuasa Arab Saudi menyaman penulis dan akhbar yang menerbitkan artikel pembohongan itu.

Sumber : BERNAMA

Artikel berkaitan : http://www.penaminang.com/2014/09/berita-pemindahan-makam-rasulullah.html#axzz3CFy03weN

ISESCO bernaung di bawah Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC). Artikel asal bantahan ISESCO kepada berita palsu ini boleh dirujuk di laman web rasmi ISESCO menerusi pautan berikut:

http://www.isesco.org.ma/index.php?option=com_k2&view=item&id=10941%3Aisesco-denounces-british-journalist’s-false-allegations-about-a-study-to-move-prophet’s-tomb&lang=en

Post a Comment

0 Comments