ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Friday, 26 September 2014

RAFFLESIA : CANTIK TAPI BAHAYA

Oleh : Dr. Nazlina Ibrahim*

AWAS jika anda gemar minum jamu, tonik ataupun terkini kopi dicampur dengan kudup dan bunga Rafflesia.

Air rebusan bunga ini biasanya digunakan oleh wanita yang baru bersalin untuk mengecutkan rahim dan melansingkan badan sedangkan lelaki pula meminum kopi kononnya bagi menambah kekuatan seksual.

Sebenarnya sehingga kini, penggunaan Rafflesia sebagai sumber ubatan tradisional hanyalah berdasarkan kepercayaan dan diamalkan sejak turun-temurun.

Kepercayaan khasiat bagi wanita itu mungkin timbul kerana rupabentuk kudup bunga ini kelihatan hampir serupa dengan rahim wanita.

Namun kajian saintifik mendapati penggunaan air rebusan kudup dan bunga Rafflesia mendatangkan kesan buruk terhadap hati dan limpa hingga mungkin membuat hati berpenyakit (rosak) dan gagal menjalankan fungsinya.

Rahim mungkin mengecut tetapi pada masa yang sama hati dan limpa turut menjadi kecut, kata Dr Nazlina Ibrahim, pensyarah kanan Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, UKM.

Akibatnya, wanita yang mahu tubuh mereka bertambah sihat dan lansing selepas meminum air rebusan kudup dan bunga Rafflesia itu mendapati mereka mungkin ditimpa penyakit lain pula memandangkan hati menjalankan pelbagai fungsi terutama dalam menyahtoksikkan bahan toksid.

Betapa bahayanya penggunaan Rafflesia ini ingin didedahkan oleh Almarhum Profesor Dr Kamarudin Mat Salleh yang khusus mengkaji mengenai bunga berkenaan. Sebelum meninggal dunia pada Oktober, 2009, beliau sempat berpesan kepada Dr Nazlina agar menyebarkan hasil kajian berhubung Rafflesia itu.

Kajian khusus mengenai perkara ini dibuat oleh seorang pelajar, Khairunnadwa Jemon sekitar tahun 2006 di bawah penyeliaan Dr Nazlina.

Dr Nazlina menjelaskan bagi kajian itu mencit betina jenis ICR yang baru bersalin telah diberi makan serbuk kudup Rafflesia azlanii selama 14 hari.

Kepekatan serbuk kudup yang diberi kepada haiwan adalah setara dengan kepekatan yang diterima untuk tujuan pengubatan kepada manusia.

Walaupun tiada kematian dan perubahan kelakuan dicatatkan, kesan penurunan berat badan telah dapat dilihat selepas tempoh pemberian rawatan.        

Bagi haiwan yang tidak menerima rawatan, berlaku peningkatan berat badan yang normal. Pengurangan berat badan merupakan salah satu petanda berlakunya kemerosotan kesihatan akibat terdedah kepada bahan toksik.

Organ seperti hati, limpa, jantung, ginjal dan sistem peranakan juga telah diperiksa. Saiz organ dalaman bagi mencit setiap kumpulan rawatan didapati adalah lebih kecil berbanding organ dalaman mencit kawalan, terutamanya bagi hati, limpa dan sistem peranakan.

Berdasarkan hasil penilaian nisbah berat organ/berat badan, hati mencit yang menerima rawatan menunjukkan penurunan yang signifikan berbanding mencit yang tidak menerima rawatan. Justeru itu, organ hati dikenalpasti sebagai organ sasaran utama dalam kajian ini.

Ini memandangkan hakikat bahawa hati merupakan organ yang terlibat di dalam pelbagai fungsi tubuh termasuk penyahtoksikan bahan toksik.

Dalam kajian ini, hati didapati berupaya menyahtoksik kudup Rafflesia azlanii tetapi beban akibat proses ini menyebabkan pengecutan hati daripada saiz sepatutnya. Pengecutan rahim juga berlaku yang mengesahkan kebolehan kudup Rafflesia azlanii untuk proses tersebut. Namun begitu risiko yang wujud adalah gangguan kepada organ penting dalam tubuh iaitu hati.

Justeru itu, Dr Nazlina menekankan pengambilan air rebusan kudup Rafflesia oleh ibu-ibu lepas bersalin terutamanya untuk tujuan mengembalikan bentuk badan asal perlu diberikan perhatian serius kerana mereka mungkin pula diserang penyakit hati yang rosak.

Tahap ketoksikan yang dilihat daripada kajian ini seharusnya menyedarkan masyarakat bahawa khususnya Rafflesia azlanii tidak selamat untuk digunakan sebagai sumber perubatan tradisional.  

Jika pengurangan berat badan yang menjadi matlamat, cara makanan yang sihat serta riadah adalah lebih berkesan dan selamat dilakukan.

Bukannya dengan memusnahkan kecantikan semulajadi Rafflesia untuk kecantikan diri yang boleh memudaratkan diri, tegas Dr Nazlina

Rafflesia tidak harus diganggu 

Rafflesia atau bunga pakma yang masyhur sebagai bunga terbesar di dunia merupakan tumbuhan yang jarang ditemui serta unik di dalam hutan hujan tropika dan tergolong dalam famili Rafflesiaceae.

Ia sebenarnya adalah parasit yang memanjat khusus pada pokok genus Tetrastigma (Vitaceae). 

Kitaran hidupnya adalah selama antara dua hingga tiga tahun namun bunga Rafflesia akan kembang untuk beberapa hari sahaja sebelum mengalami kemerosotan dan menjadi busuk.

Keunikan dan kecantikan Rafflesia telah menarik perhatian ramai pencinta alam, penyelidik dan pelancong dari dalam dan luar negara. Rafflesia telah menjadi salah satu ikon utama dalam pelancongan ekologi di Malaysia.

Kajian kes mengenai skim insentif pemuliharaan Rafflesia (RCIS) di Taman Kinabalu mendapati bahawa pulangan wang (per tahun) daripada industri ekopelancongan Rafflesia adalah lebih tinggi jika tanah pada keluasan yang sama digunakan untuk tujuan pertanian. Rafflesia juga telah lama digunakan sebagai salah satu sumber ubatan tradisional sejak turun-temurun.

Penggunaan Rafflesia sebagai sumber ubatan tradisional merupakan antara faktor penyebab utama spesies ini diancam kepupusan selain daripada kemusnahan hutan akibat pembalakan haram. 

Ianya boleh diperolehi melalui jualan oleh pengamal perubatan tradisonal yang memperolehinya dari hutan berdekatan. Kudup Rafflesia dijual pada harga di antara RM9.00 hingga RM25.00 berdasarkan saiz kudup.

-----------------------------------------------

* Dr. Nazlina Ibrahim adalah pensyarah di Jabatan Mikrobiologi, Fakulti Sains Hayat sebelum tertubuhnya Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi.

Beliau mengajar kursus-kursus mikrobiologi asas, mikrobiologi patogen dan diagnosis, bakteriologi, virologi, imunologi serta teknologi DNA rekombinan. Asas pendidikan beliau di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang menjadikannya seorang yang mempunyai keluwesan dalam bidang penyelidikannya.

Penyelidikan beliau termasuklah kajian pengekspresan protein daripada virus dan bakteria di dalam sistem pengekspresan bakteria dan mamalia serta kajian aktiviti antimikrob dan toksikologi sebatian semulajadi daripada tumbuhan serta bahan kimia sintetik.

Sumber : http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/311-the-dangers-of-using-rafflesia.html

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute