ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Saturday, 15 August 2015

[VIDEO] BRUNEI MASIH BELUM LAKSANA HUDUD - MANTAN KETUA HAKIM NEGARA



Oleh : Asmahanim Amir
Foto : Ikhwan Hashim
Video ihsan : Unit Komunikasi Koprat UKM.

Bangi – Malaysia belum bersedia melaksanakan Hudud kerana masih terdapat beberapa perkara yang timbul walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau Hudud pada 19 Mac lepas.

Mantan Ketua Hakim Negara merangkap Prof Adjung Institut Islam Hadari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tun Abdul Hamid Mohamad berkata  sebahagian daripada Enakmen Hudud Kelantan tidak sah kerana ia melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk mengatasinya, mereka (kerajaan negeri Kelantan) bercadang untuk meminta Parlimen membenarkan Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat undang-undang bagi kesalahan itu dan mengenakan hukuman Hudud ke atasnya,” katanya pada Majlis Bicara Persada UKM bertajuk ‘Pelaksanaan Hudud: Peluang dan Cabaran’ di Persada Canselori  di sini hari ini.

Menurut Tun Hamid jika Hudud dilaksanakan, ia mestilah digunakan terhadap semua orang – Islam dan bukan Islam – kerana ia adalah undang-undang jenayah persekutuan dan bukan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri.

“Jika tidak, ia tak keperlembagaan (unconstitutional) kerana bercanggah dengan Perkara 8 (Perlembagaan Persekutuan) dan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa membicarakan kes-kes itu adalah Mahkamah Sivil kerana ia adalah undang-undang jenayah dan bukan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri,” katanya.

Beliau menegaskan masyarakat masih keliru antara hukum dan pelaksanaan Hudud.

“Kita mesti membezakan antara perbincangan mengenai hukum dengan perbincangan mengenai pelaksanaan. Apa yang kita bincangkan sekarang ialah tentang pelaksanaan, bukan kita persoalkan hukum,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa yang turut menjadi ahli panel dalam forum tersebut berkata cabaran yang paling utama untuk laksanakan Hudud adalah cabaran promosi.

“Cara kita promosi undang-undang ini adalah salah. Kenapa kita promosikan Hudud sedangkan ini adalah Undang-undang Jenayah Syariah 1993 dan Hudud adalah komponen kecil yang ada dalam undang-undang tersebut,” katanya.

Beliau berkata tidak ada mana-mana negara yang menggunakan istilah Hudud walaupun mengambil pendirian yang paling ekstrem untuk laksanakan Hudud.

“Bagaimana kita nak memahamkan orang tentang Hudud? Adakah kita berada dalam suasana yang kondusif untuk laksanakan Hudud sedangkan sekarang ini kadar jenayah di negara kita semakin meningkat,” katanya.

Bagi Pensyarah Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM, Dr Mohd Idzhar Ariff Mohd Kashim, beliau berkata Malaysia perlukan suasana yang kondusif untuk melaksanakan Hudud.

“Keadaan masih belum kondusif untuk laksanakan Hudud kerana rakyat semakin miskin dan kecurian akan meningkat. Kita tak mahu umat Islam dipotong tangan kerana mencuri akibat kemiskinan. Kita kena perbaiki dan perlukan suasana yang kondusif untuk laksanakan Hudud yang hebat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga perlu melakukan penambahbaikan dalam Mahkamah Syariah supaya pelaksanaan Hudud dapat dibuat.

Forum tersebut dipengerusikan oleh pengacara RTM Sayed Munawar Sayed Mustar.

Kertas kerja boleh dimuat turun disini : http://www.tunabdulhamid.my/index.php/speech-papers-lectures/item/755-pelaksanaan-hudud-peluang-dan-cabaran

Sumber : UKM News

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute