BILA SENJATA MAKAN TUAN

Oleh : Anasz*

1. Baru semalam Ali Abdullah Saleh menyatakan bahawa pihaknya (GPC) menamatkan kerjasama politik dengan Syiah Houthi, hari ini kita mendapat berita bahawa beliau dibunuh, manakala anak lelakinya, Khaled pula ditangkap.

2. Kembali kepada sejarah lalu, Ali Abdullah Saleh yang merupakan bekas Presiden Yaman ini diturunkan kuasa ketika Arab Spring melanda dunia Arab.

3. Malah beliau hampir mati dalam satu cubaan membunuh beliau ketika di Sana'a oleh kumpulan demonstrator. Namun nyawanya masih panjang. Beliau diselamatkan oleh al marhum Raja Abdullah, pemerintah Arab Saudi pada ketika itu.

4. Beliau dirawat di Riyadh sebelum dihantar ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan rawatan lanjut. Lanjutan daripada insiden itu, Ali Abdullah Saleh dinasihatkan oleh Raja Abdullah untuk melepaskan jawatannya dengan jaminan bahawa dia tidak akan didakwa atas sebarang salah guna kuasanya, selain diberikan jaminan keselamatan oleh Arab Saudi sekiranya beliau mahu menetap di Arab Saudi.

5. Pada mulanya beliau enggan menerima cadangan pemerintah Arab Saudi, namun setelah beberapa siri perbincangan, akhirnya beliau melepaskan jawatan.

6. Tugas dan tanggungjawab beliau diambil alih oleh Abdu Rabbo Mansour Al-Hadi buat sementara, sebelum berlakunya pilihanraya presiden. Dan tatkala pilihanraya Presiden berlangsung, hanya Hadi sahaja yang menghantar permohonan kepada suruhanjaya pilihanraya Presiden Yaman, sekaligus menjadikan beliau sahajalah calon dalam pilihanraya berkenaan. Secara automtiknya, beliau dilantik menjadi Presiden ke 2 Yaman sejak negara berkenaan bersatu pada tahun 1990.

7. Apabila Abdu Rabbo Mansour Hadi menjawat jawatan Presiden, Ali Abdullah Saleh mula berkonspirasi dengan Syiah Houthi (yang pernah menjadi musuh politiknya) bagi menjatuhkan Presiden Hadi.

8. Hasil kerjasama itulah yang menyebabkan Yaman kembali bergolak pada tahun 2014 apabila Syiah Houthi mula melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan Yaman, yang pada ketika itu sudah berpecah belah (diantara kem Pro-Saleh dengan kem Pro Hadi).

9. Ali Abdullah Saleh menggunakan pengaruhnya bagi mempengaruhi panglima-panglima tentera yang masih setia dengannya agar belot dari mempertahankan Abdu Rabbo Mansour Al-Hadi.

10. Pasukan tentera Pro-Hadi gagal menghalang kemaraan Houthi sekaligus menyebabkan ibu Kota Sana'a ditawan. Manakala Hadi dikenakan tahanan dalam rumah.

11. Namun begitu Hadi berjaya menyusup keluar dan mundur ke Aden, bandar pelabuhan yang terletak di selatan Yaman. Disitu beliau diselamatkan oleh tentera Arab Saudi dan dibawa ke Riyadh.

12. Pada Mac 2015, Arab Saudi bersama tentera pakatan Arab dan Islam telah melancarkan serangan ke atas kedudukan Syiah Houthi di Yaman. Dan perang itu berlaku sehingga hari ini.

Syiah Houthi

1. Kumpulan ini merupakan kumpulan pemberontak yang mendapat bantuan dari Iran. Mereka ini berkubu di Sa'ada yang terletak di utara Sana'a dan bersempadan dengan Arab Saudi.

2. Arab Saudi dan Tentera Yaman di era kepimpinan Saleh pernah melancarkan serangan ke atas kedudukan Syiah Houthi di Sa'ada. Kumpulan ini hampir sahaja dihapuskan, namun disebabkan Syiah Houthi bersetuju meletakkan senjata, maka serangan dihentikan oleh pihak berkenaan.

3. Ketika Arab Spring melanda, Syiah Houthi kembali dengan membawa tema perjuangan yang baru atas paksi Arab Spring. Jika dahulu perjuangan mereka menggunakan senjata, kini perjuangan mereka menggunakan nama demokrasi dan menjatuhkan pemerintah yang dikatakan 'zalim'.

4. Apabila Ali Abdullah Saleh berjaya dijatuhkan, mereka mengumpulkan kekuatan mereka. Dan mula mengubah perjuangan mereka dan kembali menggunakan senjata. Impian Syiah Houthi hanyalah satu : Mendapat kuasa dan memerintah Yaman.

5. Mereka cuba menjatuhkan Hadi pada 2014 melalui siri peperangan yang berlaku di Sa'ada. Namun gagal ekoran kekuatan ketenteraan yang ada pada Houthi amat terhad.

6. Kesempatan mula wujud apabila bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh mula berpakat dengan Syiah Houthi bagi menjatuhkan Abdu Rabbo Mansour Al-Hadi (Presiden Sah Yaman).

7. Menggunakan kelebihan dan pengaruh Ali, Syiah Houthi telah berpakat dengan kelompok tentera Pro Saleh untuk menyerang Sana'a sekaligus cuba menjatuhkan Hadi dari kerusi pemerintahan. Namun ianya gagal apabila Hadi berjaya diselamatkan oleh tentera Pakatan Arab Saudi selain pasukan tentera Pakatan Saudi berjaya memberikan tentangan yang hebat terutama sekali di Aden. Sekaligus menafikan keinginan Syiah Houthi mengawal keseluruhan Yaman.

Peranan Arab Saudi

1. Arab Saudi sentiasa memandang serius terhadap apa jua yang berlaku di Yaman. Ini kerana konflik yang berlaku di Yaman boleh merebak melangkaui sempadan negaranya.

2. Arab Saudi adalah negara pertama yang menggerakkan usaha diplomasi dalam mencari penyelesaian aman dalam konflik politik di Yaman. Namun usaha politik tidak akan berjalan tanpa sokongan ketenteraan.

3. Tindakan Arab Saudi dan sekutunya menyerang Yaman bukan kerana mereka mahu menghancurkan Yaman. Sebaliknya mempertahankan kerajaan Sah Yaman dari ditumbangkan oleh Syiah Houthi yang mendapat dokongan dari Iran.

4. Tindakan Arab Saudi ini juga adalah atas permintaan dari kerajaan sah Yaman selain selaras dengan resolusi majlis keselamatan PBB, 2216.

Pakatan Syiah Houthi - Saleh

1. Saling memperguna bagi merebut kuasa.

Apa yang Malaysia Boleh Belajar?

1. Musuh tetap musuh. Walaupun bersatu atas nama pakatan.

2. Pakatan yang rapuh bukan sahaja melemahkan negara tetapi juga bakal membawa negara ke era kemusnahan.

3. Hal ini kerana, setiap musuh bercita-cita menjadi pemimpin dan mempunyai ideologinya yang tersendiri.

4. Mungkin satu hari nanti kita akan melihat ada bekas pemimpin negara yang ditikam oleh rakan sekutunya sendiri dalam pakatan. Persis apa yang terjadi pada Ali Abdullah Saleh pada hari ini.

*Penulis merupakan graduan dalam bidang Strategi dan Keselamatan dari UKM.

Post a Comment

0 Comments