PEMBERONTAKKAN SYIAH HOUTHI MENUJU PENGAKHIRAN?

Oleh : Anasz*

1. Pada 26 Mei yang lalu, Menteri Luar Yaman, Khalid Hussein al-Yamani dalam satu temuramah dengan Al Arabiya telah menyatakan bahawa pihak pemberontak Syiah Houthi telah bersetuju untuk ke meja perundingan bagi menamatkan konflik telah berlanjutan sejak Mac 2015 lagi.

2. Kekalahan demi kekalahan yang diterima oleh puak pemberontak Syiah Houthi yang didokong oleh Iran menyaksikan ramai nyawa rakyat Yaman yang tidak berdosa menjadi mangsa.

3. Konflik diantara Kerajaan Yaman dengan Syiah Houthi bermula penghujung 2014 apabila Syiah Houthi cuba menguasai Yaman melalui rampasan kuasa bagi menjatuhkan pemerintah Sah Yaman, Abdu Rabbo Mansour Al-Hadi.

4. Syiah Houthi yang mendapat sokongan daripada Regim Syiah Iran selain dari sokongan bekas Presiden Yaman yang meletakkan jawatan pasca Arab Spring 2011 telah menawan ibu kota Yaman, Sana'a sekaligus memaksa Presiden Yaman, Abdu Rabbo Mansour Al Hadi berundur ke selatan negara berkenaan, Aden.

5. Sikap Syiah Houthi yang enggan meletakkan senjata walaupun Majlis Keselamatan PBB telah mengeluarkan resolusi Majlis Keselamatan 2216, telah menyebabkan Arab Saudi dan beberapa negara Arab yang lain melancarkan operasi ketenteraan di negara berkenaan yang dinamakan dengan Operation Decisive Storm dan Operation Renewel of Hope bagi mengekang kemaraan Syiah Houthi dari menguasai Yaman sekaligus membantu mengekalkan penguasaan kerajaan Yaman terhadap wilayah mereka.

6. Pada awal tahun lalu, Syiah Houthi telah membunuh mantan Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh setelah Syiah Houthi mendapati Saleh cuba mendapatkan persetujuan dari kerajaan Arab Saudi bagi menamatkan perang di Yaman, sesuatu yang dianggap oleh Syiah Houthi sebagai mengkhianati perjanjian bersama diantara Saleh dengan Houthi.

7. Pembunuhan Ali Abdullah Saleh telah merenggangkan lagi hubungan diantara kem Saleh dengan Syiah Houthi yang sudah sedia terjadi ekoran sikap kedua-dua musuh tradisi ini tidak mahu beralah dalam menentukan urus tadbir politik di wilayah yang dikuasai mereka.

8. Untuk rekod, Arab Saudi, UAE, Bahrain, Sudan, Kuwait, Mesir, Jordan, Maghribi, Senegal, selain Malaysia antara negara yang terlibat dalam usaha membebaskan Yaman dari pengaruh Syiah Houthi yang didokong oleh Iran.

*Penulis merupakan graduan dalam bidang strategi dan keselamatan dari UKM yang kini bertugas sebagai Penyelidik di PM Institute

Post a Comment

0 Comments