HAJI DAN UMRAH BUKAN SENJATA POLITIK ARAB SAUDI

Oleh : Anasz

1. Tindakan Kerajaan Malaysia hari ini yang mahu mengeluarkan penempatan anggota ATM di Arab Saudi telah menimbulkan kegusaran ramai pihak. Ada yang menjangka bahawa kerajaan Arab Saudi akan bertindak balas mengurangkan kuota Haji bagi rakyat Malaysia pada tahun ini.

2. Suka saya menyatakan kepada seluruh rakyat Malaysia, bukanlah polisi dan dasar luar Arab Saudi menjadikan urusan agama sebagai senjata politik mereka. 

3. Dalam satu pertemuan saya dengan salah seorang kaunselor Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur tahun lepas, saya ada bertanyakan status dan kedudukan jemaah Haji dan Umrah Qatar yang dilaporkan dihalang dari memasuki Makkah dan Madinah.

3. Sambil menafikan berita palsu berkenaan, beliau menegaskan, kerajaannya sentiasa bersedia dan komited melayan mana-mana jemaah Haji dan umrah yang datang ke negara berkenaan tanpa mengira perbezaan politik. Beliau turut memaklumkan kepada kami bahawa, hatta jemaah Iran diberikan bantuan dan layanan yang serupa walaupun Iran sering melakukan pengkhianatan dan sabotaj terhadap Arab Saudi. Kenyataan serupa yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al Jubeir di Chatham House . 



4. Tambahnya, urusan Haji dan Umrah adalah urusan individu dengan ALLAH. Manakala urusan diplomatik adalah urusan antara negara dengan negara.

5. Untuk makluman pembaca yang budiman, kuota asal bagi jemaah Haji dari Malaysia yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi ialah 27,900 orang berdasarkan kadar 0.1 % daripada jumlah penduduk sesebuah negara berasaskan perangkaan Prospek Populasi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation’s World Population Prospect). Jumlah kuota ini pernah dikurangkan kepada 22,320 bermula tahun 2013 ekoran proses pembesaran Masjidil Haram.

6. Hubungan baik Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan Khadimul Haramain As-Syarifain, Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud, telah menyebabkan Kerajaan Arab Saudi bersetuju meningkatkan bilangan kuota kepada 30,200 orang bagi 2017 (selain kuota tambahan khusus untuk 1,100 tempat disaat akhir, khas buat anggota Mindef dan polis)

7. Untuk musim Haji tahun ini, kuota rasmi jemaah haji Malaysia bagi tahun ini kekal 30,200 orang seperti tahun lepas. 

8. Semoga pencerahan ini dapat menghentikan segala cerita-cerita sensasi atau persepsi buruk anda kepada Arab Saudi. 

Bonus : Hubungan baik pemimpin Malaysia terdahulu dengan Raja Arab Saudi telah membolehkan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang terpilih sebagai perintis bagi program Pra-Pelepasan Haji.  Dimana proses pengambilan cap jari serta semakan data jemaah haji Malaysia akan dilaksanakan di KLIA dan data tersebut akan disalurkan ke pangkalan sistem haji Arab Saudi, sekaligus mengurangkan tempoh masa menunggu di kaunter ketibaan di King Abdulaziz International Airport, Jeddah. 



* Penulis merupakan penyelidik bebas yang mempunyai kelulusan pendidikan Sarjana dalam bidang Strategi dan Analsis Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rujukan :

http://www.sinarharian.com.my/nasional/1-100-kuota-haji-khas-untuk-warga-mindef-polis-1.719899

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/05/07/program-pra-pelepasan-haji/

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/03/27/kuota-haji-2018/

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kuota-haji-2015-kekal-22-320-orang-jamil-khir-55903

https://www.tabunghaji.gov.my/ms/faq/haji/bagaimana-th-mengambil-kira-peruntukan-kuota-haji-setiap-tahun

http://www.sinarharian.com.my/politik/kuota-haji-2013-keutamaan-jemaah-70-tahun-ke-atas-1.170716

Post a Comment

0 Comments