ARAB SAUDI MENYELAMATKAN TOKOH TAFSIR AL-QURAN MALAYSIA TATKALA LEE KUAN YEW MAHU MENANGKAPNYA

Oleh : Wan Ramizah Hasan*

1. Syeikh Abdullah Basmeih terkenal sebagai seorang wartawan yang berani. Beliau mempunyai semangat patriotik dan keagamaan yang tinggi. Hal ini diakui sendiri oleh Ahmad Idris, bekas teman sepejabatnya di Utusan Melayu. Pernah pada suatu ketika, beliau telah memeningkan kepala Perdana Menteri Singapura pada ketika itu, Lee Kuan Yew. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1965. Beliau dan dua wartawan yang lain, iaitu Encik Zabha dan Encik Abu Bakar Ismail telah mencabar Perdana Menteri Singapura itu untuk mengadakan wawancara secara terbuka mengenai hak-hak orang Melayu. Semasa itu Singapura sedang mengalami krisis dengan Malaysia yang mengakibatkan kedua-duanya terpisah pada tahun 1965.

2. Lee Kuan Yew telah menerima cabaran yang dihulurkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih dan rakan-rakannya. Perdebatan itu disiarkan secara langsung oleh Televisyen Singapura. Dalam perdebatan itu, Sheikh Abdullah Basmeih telah mengemukakan banyak pertanyaan yang menyentuh soal kedudukan orang Melayu dan agama Islam di Singapura. Oleh sebab soalan-soalan yang dilontarkannya adalah sedemikian rupa, maka Lee Kuan Yew seakan-akan tidak mahu melayan persoalan Sheikh Abdullah Basmeih. Beliau agak keberatan untuk menjawabnya. Dalam satu soalannya, Sheikh Abdullah Basmeih bertanya :

"Mengapa Encik Lee Kuan Yew semasa berucap di sana-sini  suka menimbulkan jumlah peratusan orang Melayu dan mengapa Encik Lee Kuan Yew selalu mengungkit-ungkit tentang orang Melayu yang kecil jumlahnya berbanding dengan orang bukan Melayu? Tahukah sebabnya mengapa berlaku sedemikian? Sebabnya ialah penjajah buka pintu. Karamkan Tanah Melayu dengan bangsa-bangsa asing sehingga orang Melayu tertindas di negerinya sendiri."

"Ini soalan ganas." jawab Lee Kuan Yew.

"Tidak, inilah hakikat yang sebenarnya." kata Sheikh Basmeih lagi.


4. Wawancara yang disiarkan secara langsung itu telah menarik perhatian orang ramai. Perdebatan antara wartawan dengan Lee Kuan Yew melalui akhbar Utusan Melayu mendapat rating yang tinggi. Ekoran daripada peristiwa itu, rancangan Kursus Agama Islam di Radio Singapura yang dikelolakan oleh Sheikh Abdullah Basmeih telah dihentikan. Sebenarnya, inilah antara cara dan taktik musuh-musuh Islam dalam usaha melenyapkan cahaya Islam daripada muka bumi ini. Mengugut dan menyekat seseorang daripada bersuara melalui suara media dikatakan sedikit sebanyak berjaya menganggu perjalanan dakwah Islamiah di dunia ini.

5. Pada pandangan penulis, penglibatan Sheikh Abdullah Basmeih di syarikat Utusan Melayu ini telah mendedahkan beliau kepada kritikan umum. Syarikat ini telah membuka jalan kepada masyarakat untuk menjadikan akhbar sebagai salah suatu ruangan untuk memberikan pandangan, luahan, kritikan dan perdebatan.

6. Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, Sheikh Abdullah Basmeih adalah orang pertama yang berhijrah ke Malaysia. Pada masa itu beliau sedar kuasa sudah berada dalam genggaman Lee Kuan Yew. Bila-bila masa sahaja beliau boleh ditangkap atas tuduhan dan dakwaan kesalahan yang pelbagai. Sheikh Abdullah Basmeih segera berhijrah ke Malaysia untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan kuasa politik.

7. Detik-detik perpindahan Sheikh Abdullah Basmeih dari Singapura ke Malaysia itu telah diceritakan dalam Utusan Melayu bertarikh 13 Ogos 1965, iaitu dalam artikel pertamanya sewaktu berada di Malaysia. Menurut cerita anaknya, Siti Aishah, pada mulanya Sheikh Abdullah Basmeih tidak lagi berhasrat untuk berpindah ke mana-mana setelah berkeluarga di Singapura, namun begitu, setelah berlaku perdebatan antara dirinya dan rakan-rakan dengan Lee Kuan Yew, beliau telah dinasihati supaya keluar dari Singapura. Walau bagaimanapun beliau menangguhkan perpindahan itu sehinggalah Radio Singapura mengisytiharkan perpisahan dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Dari Singapura, beliau menuju ke Johor Bahru dengan menaiki kenderaan milik kedutaan Arab Saudi di Singapura. Kereta itu membawa bersama-sama bendera negara Arab Saudi agar tidak diganggu oleh mana-mana pihak. Sebenarnya Sheikh Abdullah Basmeih mempunyai hubungan yang amat rapat dengan pihak kedutaan Arab Saudi, lebih-lebih lagi apabila pihak kedutaan Arab Saudi sering memberikan majalah-majalah berbahasa Arab yang dilanggan oleh negara-negara Arab untuk dibaca dan diterjemahkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih.

8. Dari Johor Bahru, Sheikh menaiki kereta api menuju ke Melaka dan kemudiannya terus ke Kuala Lumpur. Di sini, beliau terus menyambung kerjayanya di Utusan Melayu. Tidak lama kemudian, barulah Sheikh Abdullah Basmeih membawa keluarganya berpindah ke Malaysia. Pada mulanya keluarga Sheikh Abdullah Basmeih menyewa di Kampung Baru, iaitu di Jalan Raja Abdullah yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Hill. Kemudian mereka berpindah pula ke Jalan Raja Uda yang berhampiran dengan kawan itu. Akhirnya pada awal tahun 1970-an, Sheikh telah membeli sebuah rumah di Taman Keramat, Kuala Lumpur yang berhampiran dengan sungai. Disinilah beliau dan ahli keluarnya menetap sehingga beliau meninggal dunia.

*Penulis buku Sheikh Abdullah Basmeih : Tokoh Tafsir Malaysia.

Post a Comment

0 Comments