PERINTAH BERIMAN KEPADA ALLAH, RASUL-NYA, MENJALANKAN SYARIAT AGAMA DAN BERDOA KEPADANYA


Ibnu Abbas R.A berkata : "Ketika utusan Abdul Qays datang kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya : 'Utusan siapakah kalian?' Jawab mereka : 'Rabiah'. Maka disambut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dengan ucapan : 'Selamat datang rombongan utusan yang tidak kecewa dan tidak akan menyesal'. Lalu mereka berkata : 'Ya Rasulullah, kami tidak dapat datang kepadamu kecuali dalam bulan haram (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah & Muharram), sebab antara kami dengan kamu ada suku kafir dari Mudar (iaitu yang selalu merompak di jalanan), kerana itu ajarkan kepada kami ajaran yang jelas dan terperinci untuk kami sampaikan kepada mereka yang di belakang kami, dan dapat memasukkan kami ke syurga, juga mereka menanyakan tentang minuman.' Maka Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh mereka empat perkara dan mencegah daripada empat perkara : Menyuruh mereka beriman kepada ALLAH SWT sahaja. Lalu ditanya : 'Apakah kalian mengerti apakah iman hanya kepada ALLAH SWT?' Mereka menjawab : 'ALLAH dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.' Maka Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 'Percaya bahawa tiada tuhan kecuali ALLAH dan Nabi Muhammad utusan ALLAH, mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan puasa bulan Ramadan, dan memberikan seperlima daripada hasil ghanimah, dan melarang mereka membuat minuman dalam bekas yang dibuat dalam labu, atau melubangi batang pohon atau bejana yang dicat dengan tar.' Kemudian Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 'Ingatlah semua itu dan sampaikan kepada orang-orang yang di belakangmu.' 

(HR Bukhari dan Muslim)

Ibnu Abbas R.A berkata : "Ketika Rasullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengutus Mu'az bin Jabal R.A ke Yaman, Baginda berpesan : 'Engkau akan menghadapi ahli kitab, kerana itu perkara pertama yang engkau harus ajarkan kepada mereka adalah tauhid dan beribadah kepada ALLAH SWT, maka apabila mereka telah mengerti, beritahukan kepada mereka bahawa ALLAH SWT mewajibkan atas mereka solat lima waktu dalam sehari semalan, dan apabila mereka telah mengerjakan itu, sampaikan kepada mereka bahawa ALLAH SWT mewajibkan mereka mengeluarkan zakat harta untuk diberikan kepada fakir miskin di antara mereka, maka apabila mereka mentaati, maka terimalah dan berhati-hatilah, jangan mengambil harta kesayangan mereka."

(HR Bukhari dan Muslim)

Ibnu Abbas R.A berkata bahawa Nabi mengutus Mu'az ke Yaman dan Baginda bersabda : "Hindarilah oleh kalian doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada penghalang antara doanya dan ALLAH SWT."

(HR Bukhari dan Muslim)

Disalin dari : Sahih Al-Lu'lu Wal Marjan Karya Muhammad Fuad Abdul Baqi'

Post a Comment

0 Comments