Dipetik dari : Cyberita Singapura

JAKARTA, 25 JUN 2013 - Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, telah memohon maaf kerana berlakunya jerebu yang menyelubungi negara-negara jiran Singapura dan Malaysia.

"Atas apa yang telah berlaku, sebagai Presiden, saya meminta maaf dan mengharapkan kefahaman saudara mara kami di Singapura dan Malaysia," katanya.

"Indonesia tidak berniat menyebabkan perkara ini dan kami akan terus memikul tanggungjawab bagi mengatasi apa yang telah berlalu," kata beliau dalam satu sidang akhbar di pejabatnya yang disiarkan menerusi televisyen, semalam.

Dr Yudhoyono berkata demikian sedang Indonesia mempertingkat usaha menangani jerebu dan kebakaran hutan yang kian merebak di wilayah Riau, dengan menggunakan pembenihan awan dan 'pengeboman' air.

Ia juga selepas beberapa menterinya mengecam reaksi negara-negara jiran mengenai jerebu.

"Terdapat beberapa kenyataan daripada beberapa pemegang jawatan yang saya rasa tidak perlu dikeluarkan sebegitu," katanya.

Beliau menambah: "Adakalanya terdapat fakta-fakta yang tidak diperiksa, dan ia seterusnya menjadi isu. Ini menjadi satu keprihatinan Singapura dan juga Malaysia.

"Terdapat kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain. Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai bahawa mereka tidak perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Apa yang diperlukan ialah menumpukan segala usaha untuk mengatasi jerebu dan kebakaran. Tindakan penguatkuasaan akan diterus - kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berkuasa. Tiada perlu mendiskriminasi," ujarnya.