Oleh : Hilmi Haji Ali 

PUTRAJAYA- Kebocoran soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) melibatkan kertas subjek Sains dan Bahasa Inggeris baru-baru memang tidak dapat dielakkan disebabkan persaingan mobiliti sosial melalui pendidikan.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata ia boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di sekolah dan universiti swasta kerana tekanan untuk kekal dalam negara membangun.

“Kita nak mendapat kekayaan, menjadi orang kaya, kelas menengah nak jadi doktor, peguam, perlumbaan melalui pendidikan itu cukup sengit. Perlumbaan inilah yang menyebabkan kalau dalam lari 100 meter dia ambik dadah, dalam perlumbaan mobiliti sosial, soalan bocor,” kata Prof. Shamsul.

Tambah Prof Shamsul beliau tidak menolak kemungkinan isu kebocoran soalan peperiksaan akan terus berlaku pada masa akan datang.

Maka untuk menyalahkan guru selaku pendidik dalam hal ini adalah tidak adil.

“Apa la salah guru ini maka soalan jadi dibocor, pada saya kita kena pisahkan tekanan yang kita beri kepada guru dan harapan dengan kegiatan jenayah ini. Kaitannya adalah tekanan untuk berjaya dalam peperiksaan saya rasa itu yang paling kuat sekali alasan yang membolehkan orang mengambil kesempatan daripada peperiksaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Prof. Shamsul berkata, isu kebocoran soalan peperiksaan bukan suatu benda yang baru kerana proses menyiapkan kertas soalan berkenaan melibatkan ramai individu termasuk pencetak.

Oleh kerana ia melibatkan peperiksaan besar seperti UPSR dengan lebih sejuta murid dan ibubapa maka isu tersebut dilihat lebih besar berbanding soalan bocor di sekolah swasta, IPTS dan IPTA.

Kertas peperiksaan UPSR melibatkan kertas Sains dan Bahasa Inggeris terpaksa ditangguhkan dan digantikan pada tarikh lain kerana didapati bocor.

Kertas Sains dan Bahasa Inggeris akan didudki semula pada 30 September ini.

Sumber : Abnxcess