11 ADAB AKAD NIKAH MENGIKUT SUNNAH

Oleh : Ustaz Ammi Nur Baits
Terjemahan oleh : Jebat

Akad nikah merupakan ikatan syarie antara pasangan suami isteri. Dengan hanya kalimat ringkas ini, ianya telah mengubah berbagai macam hukum antara kedua belah pihak. Kerana itu, Allah Ta’ala menyebutnya sebagai mitsaq ghalidz [Arab: ميثاقاً غليظاً] ertinya ikatan yang kuat. Allah berfirman,


وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

“Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu.” (An-Nisa’: 21)

Dengan akad nikah, pasangan ini telah mengikat sebuah perjanjian, seia, sekata, untuk membangunkan rumah tangga. Kerana itu, bagi anda yang telah berhasil melangsungkan perjanjian yang indah ini, jangan anda sia-siakan, jangan anda rosakkan, dan buanglah sejauh-jauhnya perkataan : cerai, talak, dan sebagainya…

Bagi memastikan agar akad nikah semakin barakah, berikut beberapa adab yang perlu diperhatikan:

1. Hindari semua hal yang menyebabkan tidak sahnya akad nikah.

Oleh kerana itu, pastikan kedua mempelai saling redha dan tidak ada unsur paksaan. Pastikan adanya wali pihak wanita, dan saksi dua orang yang amanah. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,


لا نِكَاح إِلا بوَلِي وشَاهِدي عَدلٍ

“Tidak sah nikah, kecuali dengan wali (pihak wanita) dan dua saksi yang adil (amanah).” (HR. Tirmidzi dan lainnya serta disahihkan Al-Albani)

2. Dianjurkan melakukan khutbatul hajah sebelum akad nikah.

Yang dimaksud khutbatul hajah adalah bacaan:


إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِىَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ( اتَّقُوا اللَّهَ الَّذِى تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا) (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ) ( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلاً سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا.

Dalil anjuran ini adalah hadis dari Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu, beliau mengatakan,


عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُطْبَةَ الْحَاجَةِ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا….

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengajarkan kami khutbatul hajah…-sebagaimana lafaz di atas – …(HR. Abu Daud 2118 dan disahihkan oleh Syeikh Al Albani).

Syu’bah (salah satu perawi hadis) bertanya kepada gurunya Abu Ishaq, “Apakah ini khusus untuk khutbah nikah atau boleh dibacakan pada kesempatatan yang lainnya.” Jawab Abu Ishaq, “Diucapkan pada setiap acara yang penting.”

Sebahagian orang beranggapan bahawa, dianjurkannya untuk membacakan khutbah ini ketika walimah, meskipun acara walimah tersebut dilaksanakan setelah disatukan suami isteri.  Namun yang tepat –wallahu a’lam– anjuran mengucapkan khutbatul hajah sebagaimana yang ditunjukkan dalam hadis Ibn Mas’ud radiallahu ‘anhu adalah sebelum akad nikah bukan ketika walimah. (A’unul Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, 5:3 dan Tuhafatul Ahwadzi Syarh Sunan Tirmidzi, 4:201). Wallahu a’lam.

3. Tidak ada perintah untuk membaca syahadah ketika hendak akad, atau anjuran untuk beristighfar sebelum melangsungkan akad nikah, atau membaca surah Al-Fatihah. 

Kesemua sudah lengkap dengan lafaz khutbatul hajah di atas. Tidak perlu calon pengantin diminta bersyahadah atau beristighfar.

4. Pengantin wanita tidak berada dalam majlis akad nikah. Kerana umumnya, majlis akad nikah dihadiri oleh kaum lelaki yang bukan mahramnya, termasuk jurunikah. 

Sekiranya pengantin wanita ada di tempat yang sama, sebaiknya dia berada di balik tabir. Kerana pernikahan dilangsungkan dengan wali si wanita. Allah Subhana Wa Ta’ala mengajarkan,


وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ

“Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (wanita yang bukan mahram), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.” (Al-Ahzab: 53)

Semua orang tentu menginginkan hatinya lebih suci, sebagaimana yang Allah nyatakan. Kerana itu, ayat ini tidak hanya ditujukan untuk para isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tetapi juga untuk semua mukmin.

Jika dalam kondisi normal dan ada lelaki yang hendak menyampaikan keperluan atau hajat tertentu kepada wanita yang bukan mahram, maka Allah mensyariatkan agar ianya dilakukan di sebalik hijab. Jika dalam perkara ini pun Allah menyuruh umatnya agar berhati-hati apatah lagi dalam peristiwa akad nikah. Kerana umumnya dalam keadaan ini, pengantin wanita adalah dalam keadaan paling menawan dan paling indah dipandang. Dia didandani dengan make-up yang selalunya tidak digunakan olehnya.

Kesalahan yang banyak tersebar di masyarakat dalam hari ini ialah, dengan meletakkan calon pengantin wanita berdampingan dengan calon pengantin lelaki ketika akad dilaksanakan. Bukankah kita sudah mengetahui bahaya yang keduanya belum berstatus sebagai suami isteri? Menyandingkan kedua calon pengantin ini, tentu sahaja ianya perbuatan yang salah disisi syariah. Ketika anda sepakat bahawa ber'couple' itu haram, Anda seharusnya sepakat bahawa ritual semacam ini juga terlarang.

5. Tidak ada lafaz khusus untuk ijab & kabul. 

Dalam pengucapan ijab & kabul, tidak disyaratkan menggunakan kalimat tertentu dalam ijab kabul. Akan tetapi, semua kalimat yang dikenali masyarakat sebagai kalimat ijab kabul akad nikah maka status nikahnya sah.

Lajnah Daimah (Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi) ketika ditanya tentang lafaz nikah. Mereka menjawab;

Semua kalimat yang menunjukkan ijab Kabul, maka akad nikahnya sah dengan menggunakan kalimat tersebut, menurut pendapat yang lebih kuat. Yang paling tepat adalah kalimat: ‘zawwajtuka’ dan ‘ankahtuka’ (aku nikahkan kamu), kemudian ‘mallaktuka’ (aku serahkan padamu). (Fatawa Lajnah Daimah, 17:82).

6. Hindari bermesraan setelah akad di tempat umum

Ini adalah sesuatu perbuatan yang sering dilakukan oleh umat Islam sekaligus menunjukkan kurangnya rasa malu sebahagian kaum muslimin, bermesraan setelah akad nikah di depan khalayak ramai. Walaupun kita bersetuju bahawa keduanya telah sah sebagai suami isteri, sekaligus perkara-perkara yang sebelumnya diharamkan menjadi halal, namun harus kita sedari bahawa untuk melampiaskan kemesraan terhadap si isteri atau si suami, ianya dilakukan di satu tempat yang tersendiri, bukan di tempat umum.

Bukankah syariah sangat menjaga dalam urusan syahwat? Menampakkan adegan semacam ini di muka umum, pasti akan mengundang syahwat mata-mata masyarakat yang ada di sekitarnya. Hadis berikut semoga boleh menjadi pelajaran penting bagi kita.

Dari Ibn Abbas radiallahu ‘anhuma beliau menceritakan:

Fadhl bin Abbas (saudaranya Ibn Abbas) pernah membonceng Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam di belakang beliau, kerana tunggangan Fadhl keletihan. Fadhl adalah pemuda yang cerah wajahnya. Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berhenti di atas tunggangannya, untuk menjawab pertanyaan banyak sahabat yang mendatangi baginda. Tiba-tiba datang seorang wanita dari Bani Khats’am, seorang wanita yang sangat cerah wajahnya untuk bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ibnu Abbas melanjutkan,


فَطَفِقَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا، وَأَعْجَبَهُ حُسْنُهَا، فَالْتَفَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا، فَأَخْلَفَ بِيَدِهِ فَأَخَذَ بِذَقَنِ الفَضْلِ، فَعَدَلَ وَجْهَهُ عَنِ النَّظَرِ إِلَيْهَا

Maka Fadhl-pun langsung mengarahkan pandangan kepadanya, dan takjub dengan kecantikannya. Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memalingkan wajah beliau, namun Fadhl tetap mengarahkan pandangannya ke wanita tersebut. Lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memegang rahang Fadhl dan memalingkan wajahnya agar tidak melihat si wanita…. (HR. Bukhari, no.6228)

7. Adakah anjuran akad nikah di masjid?

Terdapat hadis yang menganjurkan untuk mengadakan akad nikah di masjid, hadisnya berbunyi:


” أعلنوا هذا النكاح و اجعلوه في المساجد ، و اضربوا عليه بالدفوف”

“Umumkan pernikahan, adakan akad nikah di masjid dan meriahkan dengan memukul rebana.” (HR. At Turmudzi, 1:202 dan Baihaqi, 7:290)

Hadis dengan perawi lengkap sebagaimana teks di atas statusnya adalah hadis dhoif.  Ini kerana dalam sanadnya ada seorang perawi bernama Isa bin Maimun Al Anshari yang dinilai dhoif oleh para ulama, di antaranya Al Hafiz Ibn Hajar, Al Baihaqi, Al Bukhari, dan Abu Hatim. Akan tetapi, hadis ini memiliki penguat dari jalur yang lain, tetapi tidak ada penambahan “..Adakan akad tersebut di masjid..”. Maka potongan teks yang pertama untuk hadis ini, yang menganjurkan diumumkannya pernikahan statusnya sahih. Sedangkan potongan teks berikutnya statusnya mungkar. (As Silsilah Ad Dla’ifah, hadis no. 978).

Kerana status hadis ini adalah dhoif, maka anjuran perlaksanaan walimah di masjid adalah anjuran yang tidak mempunyai asas. Ertinya, syariat tidak memberikan batasan baik wajib mahupun sunnah berkaitan dengan tempat pelaksanaan akad nikah. Syeikh Amr bin Abdul Mun’im Salim mengatakan, “Siapa yang menyakini adanya perintah melangsungkan akad nikah di masjid atau akad di masjid memiliki nilai lebih dari pada di tempat lain maka dia telah membuat bid’ah dalam agama Allah.” (Adab Al Khitbah wa Al Zifaf, Hal.70)

8. Dianjurkan untuk menyebutkan mahar ketika akad nikah.

Ianya bertujuan agar menghindari perselisihan dan masalah selanjutnya. Dan lebih baik lagi, mahar diserahkan ketika majlis akad. Meskipun ulama sepakat, akad nikah tanpa menyebut mahar, maka statusnya adalah sah.

Dalam Ensiklopedia Fiqh dinyatakan:


أَنَّ ذِكْرَ الْمَهْرِ فِي الْعَقْدِ لَيْسَ شَرْطًا لِصِحَّةِ النِّكَاحِ فَيَجُوزُ إِخْلاَءُ النِّكَاحِ عَنْ تَسْمِيَتِهِ بِاتِّفَاقِ الْفُقَهَاءِ

Menyebutkan mahar ketika akad bukanlah syarat sah nikah. Kerana itu, boleh nikah tanpa menyebut mahar dengan sepakat ulama. (Mausu’ah fiqhiyah Kuwaitiyah, 39:151)

Namun sekiranya, menyebut jumlah mahar dalam akad nikah akan memberikan kejelasan dan makluman kepada kedua belah pihak, terutama kaum keluarga, maka perkara itu dibenarkan.

9. Dianjurkan mengikuti prosedur pentadbiran akad nikah, sebagaimana yang ditetapkan Jabatan Agama Islam / Pemerintah. 

Ini semua dalam rangka menghindari timbulnya perselisihan dan masalah pentadbiran negara. Namun adalah sebaik-baiknya, jika tidak menjadi masalah, proses pernikahan itu haruslah dimudahkan dan tidak berbelit-belit. Semakin mudah akad nikah, semakin baik menurut kaca mata syariah. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


خير النكاح أيسره

“Nikah yang terbaik adalah yang paling mudah.” (HR. Ibnu Hibban dan disahihkan Al-Albani)

Sifat mudah ini mencakupi masalah nilai mahar, tata cara nikah, proses akad, dan sebagainya.

10. Tidak ada anjuran untuk melafazkan ijab kabul dalam sekali nafas, sebagaimana anggapan sebahagian orang. 

Kerana intipati dari ijab qabul akad nikah adalah pernyataan pihak masing-masing, bahawa wali pengantin wanita telah menikahkan puterinya calon suami, dan pernyataan kesediaan dari pengantin lelaki.

Mengharuskan akad nikah dan ijab kabul dengan harus satu nafas boleh dikatakan satu perbuatan yang berlebih-lebihan dan memaksa.

11. Doa selepas akad nikah.

Dianjurkan bagi siapapun yang hadir ketika peristiwa itu, untuk mendoakan pengantin. Di antara lafadz doa yang dianjurkan untuk dibaca adalah


بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

“Semoga Allah memberkahimu di waktu senang dan memberkahimu di waktu susah, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”

Dinyatakan dalam hadis dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu,


أن النبى صلى الله عليه وسلم  :” كَانَ إِذَا رَفَّأَ الْإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

“Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam apabila hendak memberikan ucapan selamat kepada orang yang menikah, baginda mendoakan: baarakallahu laka….” (HR. Turmudzi, Abu Daud dan disahihkan Al-Albani)

Dari Aisyah radiallahu ‘anha, beliau mengatakan,


تَزَوَّجَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم   فَأَتَتْنِي أُمِّي فَأَدْخَلَتْنِي الدَّارَ فَإِذَا نِسْوَةٌ مِنَ الْأَنْصَارِ فِي الْبَيْتِ فَقُلْنَ عَلَى الْخَيْرِ وَالْبَرَكَةِ وَعَلَى خَيْرِ طَائِرٍ

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menikahiku, kemudian ibuku mendatangiku dan mengajakku masuk ke dalam rumah. Ternyata di dalamnya terdapat banyak wanita Ansar. Mereka semua mendoakan kebaikan, keberkahan kerana keberuntunganku. (HR. Bukhari dan Muslim)

Post a Comment

0 Comments