Riyadh - Arab Saudi akan melancarkan program 'bekerja dari rumah' kepada golongan wanita di negara itu bebepara minggu lagi, lapor agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan media tempatan.

Akhbar Al Sharq Al Awsat memetik kenyataan Setiausaha Kementerian Buruh untuk Program Khas, Dr. Fahad Al Tukhaifi sebagai berkata portal program berkenaan akan diperkenalkan pada akhir Disember nanti.

Program itu bertujuan membantu wanita-wanita Arab untuk bekerja, bersesuaian dengan keadaan masyarakat negara itu yang bersifat konservatif.

Ia telah dilancarkan empat tahun lalu tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya kerana tidak mencakupi keperluan perundangan, organisasi dan teknikal.

Pekerjaan yang ditawarkan adalah termasuk sektor telekomunikasi, agensi pelancongan, IT, pemasaran, perhubungan awam dan kewartawanan.

Program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan wanita Arab yang mencapai antara 32 hingga 34 peratus tahun lalu, kata satu laporan dari majalah Saydatyi, April lalu. 

Sumber : Bernama