Lebih mengelirukan lagi, ada sesetengah makanan yang dipasarkan atau disebut-sebut sebagai pilihan lebih sihat, namun hakikatnya tidak sesihat seperti yang diperkatakan.
Disini kami mengumpul penjelasan di Internet tentang lima makanan yang dianggap sihat, namun ianya mungkin memerlukan penilaian lebih teliti sebelum seseorang menyuapkannya ke dalam mulut.
1. Jus buah-buahan
Buah-buahan memang baik untuk kesihatan dan merupakan sebahagian penting diet seimbang. Ini bagaimanapun tidak bermakna jus buah-buahan juga menawarkan khasiat yang sama.
Menurut laman Healthline, kebanyakan jus buah-buahan yang dibeli di pasar-pasar raya bukan jus buah sebenar, sebaliknya air manis yang berperisa.
Malah jus buah-buahan segar juga tidak begitu sihat, kerana proses memerah akan mengeluarkan bahan sihat seperti serat dan meninggalkan jus yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
2. Minuman 'sports'
Selain jus, sports drinks atau minuman tenaga untuk atlit juga kurang menyihatkan.
Minuman tersebut mengandungi elektrolit (galian garam) dan gula yang diperlukan untuk seorang atlit setelah bersukan.
Namun untuk orang biasa yang tidak bersukan, tubuh badan tidak memerlukan kandungan garam dan gula tambahan itu.
Malah menurut Healthline, meskipun kandungan gula dalam minuman atlit adalah kurang berbanding minuman bergas, air jarang atau air putih adalah lebih sesuai untuk minuman seharian.
3. Bar tenaga
Biskut tenaga atau energy bar adalah satu lagi jenis makanan yang kerap disangka sebagai pilihan sihat. Seperti sports drink, bar tenaga juga direka khas untuk para atlit, khususnya memberi bekalan tenaga tambahan untuk bersukan.
Tidak kira dalam bentuk granola, muesli, protein atau campuran buah-buahan dan kekacang, menurut New Straits Times snek sebegini secara lazimnya mengandungi sirap jagung fruktosa dan lemak tepu yang tinggi.
Sebahagiannya pula mengandungi coklat, marshmallow dan gula hangus atau pelbagai perasa lain, dengan setiap satu mempunyai kandungan kalori tinggi.
Jika anda benar-benar ingin memakannya, WebMD menyarankan cari yang sekurang-kurangnya mempunyai 3-5g serat, 5g protin dan kurang 35 peratus kalorinya datang daripada gula.
4. Kuskus
Makanan asal Mediterranean yang kelihatan seperti bijirin ini mungkin antara beberapa pilihan yang ditawarkan di kedai-kedai salad. Namun kuskus, yang kadangkala dianggap sebagai pengganti lebih sihat kepada nasi, pada hakikatnya adalah pasta dalam bentuk yang dikisar halus.
Laman The Healthy menyarankan agar seseorang yang ingin mengamalkan pemakanan sihat, memilih quinoa atau bijirin sihat lain berbanding kuskus.
5. Marjerin
Sesetengah orang menganggap marjerin sebagai lebih sihat berbanding mentega, namun ia tidak semestinya benar. Dari segi kandungan kalori, marjerin dan mentega kedua-duanya secara am mempunyai kiraan yang sama.
Meskipun marjerin, diperbuat daripada minyak sayuran, direka sebagai alternatif lebih sihat berbanding mentega (yang mengandungi kolestrol dan lemak tepu), sesetengah marjerin mengandungi trans lemak - yang lebih mudarat untuk kesihatan. The Healthy menekankan, jika anda membeli marjerin, carilah yang bebas lemak trans. - PenaMinang.com