ANGKA KORBAN CECAH 170 DI CHINA DENGAN KES JANGKITAN MENINGKAT KEPADA 1700 BARU


WUHAN - Angka korban akibat penularan virus korona di China sudah meningkat kepada 170 dengan lebih 1,700 kes jangkitan baru disahkan, menurut pemerintah negara tersebut hari ini (30 Jan).

Sebanyak 37 daripada 38 kematian yang dilaporkan adalah di wilayah Hubei iaitu tempat di mana virus berkenaan menular sehingga menyebabkan kecemasan global. Satu lagi kematian berlaku di wilayah Sichuan, tambah pihak pemerintah.


Selain itu, Tibet turut melaporkan kes pertamanya.

38 kematian yang dilaporkan adalah peningkatan paling tinggi dalam tempoh sehari sejauh ini. Ia berlaku sedang berpuluh-puluh juta penduduk terkandas di Hubei ekoran usaha besar-besaran untuk membendung penularan virus berkenaan.

Perangkaan baru itu sekali gus menambah jumlah mereka yang terjejas di China kepada lebih 7,700 orang.

Suruhanjaya Kesihatan Hubei menyatakan bahawa jumlah kematian di wilayah itu melonjak sebanyak 37 kepada 162 sejak semalam (29 Jan).

Lagi 1,032 kes yang dikenal pasti di wilayah tersebut membawa jumlah keseluruhan kepada 4,586 kes. - AFP