IRAN "ISYTIHAR" PERANG? NEGARA MANA SASARAN UTAMA IRAN?


Oleh : Anasz*

1. Bila Iran memberikan respon untuk melaksanakan serangan balas ke atas Amerika Syarikat ekoran kematian Qasem Soleimani, maka aku terfikir, negara manakah yang akan mereka serang?

2. Untuk Iran melakukan serangan ke atas Amerika Syarikat ke atas wilayah Amerika (US Soil), ianya kelihatan agak mustahil kerana dari segi geografinya, kedudukan Tehran dengan Washington terlalu jauh. Ini memerlukan Iran mempunyai kekuatan dari aspek pengurusan logistik dan mobiliti segala asetnya. Dan umum kita ketahui, Iran tidak mempunyai keupayaan dalam skala yang besar. Maka secara teori dan praktikal, untuk menyerang kedudukan Amerika Syarikat di dalam wilayah Amerika Syarikat adalah sesuatu yang mustahil.

3. Cara yang paling mudah adalah melancarkan serangan menerusi peluru berpandu balistik antara benua ke wilayah Amerika. Namun ianya memerlukan Iran mempunyai jumlah peluru berpandu balistik dalam kuantiti yang banyak (lengkap dengan peledak atom), kerana sudah pasti Amerika Syarikat bersedia memintas peluru balistik Iran sebelum ianya sempai singgah ke negara Uncle Sam itu. Dalam masa yang sama, Iran juga perlu bersedia menerima serangan balas dari Amerika Syarikat yang lebih maju dari aspek teknologi,  sistem dan koordinasi persenjataan.



4. Pilihan kedua yang boleh dilakukan oleh Iran sekiranya mahu membalas dendam ke atas Amerika Syarikat ialah menyerang pengkalan Amerika yang terdapat di sekitar timur tengah. Bagi memberikan impak yang besar kepada negara Uncle Sam, Iran perlu mencari lokasi pengkalan terbesar Amerika Syarikat yang terdapat di sekitar wilayah berkenaan. Dan buat masa ini, hanya Pangkalan Udara Al Udeid yang terletak di Qatar menjadi pengkalan terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah.

5. Apakah Iran bersedia menyerang pengkalan udara Al-Udeid di Qatar? Yang mana dalam masa sama, Qatar juga merupakan rakan baik Iran dari kalangan negara teluk buat masa ini. Sekiranya Iran melancarkan serangan ke atas pengkalan udara Al-Udeid, secara tidak langsung ianya bermakna Iran menyerang Qatar. Kerana pengkalan udara berkenaan turut digunakan oleh tentera udara Qatar. Apakah Iran bersedia "kehilangan sahabat" arabnya ini dan adakah pula Qatar rela negaranya menjadi "medan" peperangan?



6. Begitu juga dengan Turki. Turki juga mempunyai pengkalan tentera U.S (Incirlik Air Base) di negara berkenaan. Walaupun Turki selama ini gemar menunjukkan negaranya sebagai pejuang "Islam" dan "anti Israel", hakikat sebenarnya adalah berlainan daripada apa yang dilaporkan oleh media. Dan buat masa ini, Iran juga mempunyai hubungan yang istimewa di sisi Turki. Maka bersediakah Iran membawa negara sahabatnya ke dalam radar serangan? Sudah tentu ianya tidak akan berlaku.



7. Bagaimana pula dengan Oman? Negara yang jarang-jarang kita ambil tahu ekoran gemar mengambil pendekatan berkecuali dalam sebarang konflik yang terjadi di Timur Tengah. Adakah Iran bersedia menyerang kedudukan tentera Amerika Syarikat yang berpengkalan di Seeb, Thumrait, dan Masirah? Sedangkan Oman dan Iran mempunyai hubungan diplomatik yang baik berbanding negara-negara lain dalam GCC (selain Qatar).



8. Pilihan lain yang ada bagi Iran melancarkan seragan ke atas Israel. Namun adalah memelikkan sekiranya Israel dijadikan sasaran Iran ekoran Israel sendiri tidak mempunyai pengkalan udara atau tentera yang dioperasikan oleh Amerika Syarikat. Sebaliknya yang ada hanyalah Amerika Syarikat menempatkan sistem radar mereka di negara berkenaan dengan kekuatan 100 orang anggota sokongan. Satu jumlah yang dikira kecil. Malah sekiranya Iran mahu menyerang Israel, pastinya Israel akan melakukan serangan awal terlebih dahulu. Kerana sejarah membuktikan, gaya peperangan Israel adalah offensive dan tidak menunggu untuk respon bagi memulakan serangan ke atas mana-mana negara. Lihat sahaja tatkala perang 6 Hari Israel ke atas negara jiran Arabnya.

9. Sejarah juga membuktikan bahawa, walaupun kedua-dua negara ini gemar mengeluarkan ancaman demi ancaman. Namun sehingga hari ini tidak ada sebarang serangan yang dilakukan oleh kedua-dua buah negara ini secara langsung. Malah menariknya, Tentera Udara Israel pernah melancarkan Operation Opera juga dikenali dengan nama lain iaitu Operation Babylon bagi memusnahkan keupayaan nuklear Iraq pada 1981. Namun tidak pernah sekalipun Iran diserang oleh Israel, walhal negara parsi berkenaan telah pun mempunyai keupayaan menghasilkan nuklear. Jadi untuk menyatakan Iran akan bertindak menyerang sekutu Amerika Syarikat di Israel, adalah satu fatamorgana sahaja.

10. Lalu apakah pilihan terbaik untuk Iran melakukan serangan balas? Dalam hal ini aku melihat hanya UAE, Bahrain atau Arab Saudi yang menjadi 3 pilihan terbaik untuk diserang. Kerana negara-negara ini merupakan sekutu U.S dan telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran. Sekaligus ini merupakan 3 negara terbaik untuk dijadikan mangsa bagi "membalas dendam" ke atas tindakan Amerika Syarikat.

11. Dan diantara 3 buah negara ini, mana satukah yang perlu dijadikan tumpuan utama oleh Iran? Tidak lain dan tidak bukan adalah Arab Saudi. Mengapa Arab Saudi? Jawapannya kerana, Arab Saudi merupakan negara kuasa di Timur Tengah. Kejayaan menggangu kestabilan Arab Saudi, bakal memberikan impak kepada negara-negara yang lain. Dan apabila ketidakstabilan terjadi di negara berkenaan, ianya memudahkan Iran untuk melebarkan lagi jarum-jarum halusnya untuk menawan Makkah dan Madinah. Dan sekiranya Makkah dan Madinah berjaya ditakluk, maka dengan mudah, Syiah akan mengawal dunia Islam. Dan inilah yang menjadi impian Syiah Iran selama ini.


Sumber :

https://www.globalsecurity.org/military/facility/oman.htm

https://www.incirlik.af.mil/

https://edition.cnn.com/2017/06/05/middleeast/qatar-us-largest-base-in-mideast/index.html

https://www.washingtonpost.com/world/as-trump-tries-to-end-endless-wars-americas-biggest-mideast-base-is-getting-bigger/2019/08/20/47ac5854-bab4-11e9-8e83-4e6687e99814_story.html

https://www.timesofisrael.com/in-first-us-establishes-permanent-military-base-in-israel/

*Penulis merupakan graduan sarjana dalam bidang strategi dan keselamatan dari UKM.

Post a Comment

0 Comments