11 PERKARA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCoV)


Soalan 1 : Apakah Coronavirus?

Coronavirus (CoV) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan. Terdapat beberapa jenis coronavirus seperti severe acute respiratory syndrome coronavirus (SARS) dan Middle East Respiratory syndrome-related coronavirus (MERS-CoV). Coronavirus terbaru yang ditemui di China adalah Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV).

Jangkitan Coronavirus boleh menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk.


Soalan 2 : Sejarah Coronavirus sebelum ini, adakah pernah berlaku dan apakah pengalaman KKM menangani masalah ini?

Novel Coronavirus atau 2019-nCoV adalah virus corona yang baru dan KKM sentiasa berhubung dengan pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mempelajari characteristic and behavior virus ini.

KKM dan badan-badan kesihatan dunia semuanya tiada pengalaman menangani virus 2019-nCoV ini, walau bagaimana pun KKM mempunyai pengalaman menangani virus lain dalam kumpulan ini seperti SARS dan MERS CoV.

Dalam menangani kluster atau wabak jangkitan SARS dan MERS CoV, pematuhan kepada prinsip kesihatan awam yang ketat serta pengawalan jangkitan telah membolehkan kluster atau wabak penyakit tersebut dihentikan. Pihak KKM yakin dengan mengamalkan prinsip yang sama kita akan berjaya menangani kluster jangkitan 2019-nCoV ini.


Soalan 3 : Bagaimanakah novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) merebak?

Cara penularan Novel Coronavirus (nCoV) masih belum dikenal pasti. Walau bagaimanapun jangkitan daripada manusia kepada manusia yang lain telah disahkan berlaku.

KKM kini sedang mengawasi perkembangan jangkitan ini dan situasi sentiasa berubah dan akan mengemaskini maklumat penyakit ini dalam laman sesawang KKM dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kebersihan diri yang baik.


Soalan 4 : Sekiranya saya memakai penutup mulut dan hidung surgical atau N95, adakah ianya membantu untuk mengurangkan penularan 2019-nCoV?

Pemakaian penutup mulut dan hidung surgical atau 3-ply face mask adalah disyorkan kerana ia membantu mengurangkan penyebaran virus dan lebih praktikal untuk digunakan oleh orang awam. Ia bagi menghalang pendedahan orang lain kepada titisan dan percikan air liur orang yang memakai penutup mulut dan hidung ini.

Namun penutup mulut dan hidung N95 tidak disyorkan kerana ia lebih ketat dan boleh menyebabkan pemakainya berasa sukar untuk bernafas. Ianya lebih sesuai digunapakai oleh anggota kesihatan yang mengendalikan pesakit di fasiliti kesihatan.


Soalan 5 : Apakah gejala-gejala radang paru-paru (pneumonia) 2019-nCoV?

Gejala radang paru-paru (pneumonia) 2019-nCoV adalah demam, batuk dan sukar bernafas.


Soalan 6 : Saya mempunyai gejala batuk dan hidung berair. Saya baru balik dari mengembara ke negara-negara yang terdapat kes pneumonia disebabkan jangkitan 2019-nCoV. Perlukah saya pergi ke klinik swasta atau adakah saya perlu pergi ke Jabatan Kecemasan & Trauma hospital Kerajaan?

Anda hendaklah berjumpa doktor segera jika mempunyai gejala demam, atau jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan hidung berair. Sila dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan terdekat dan pakai penutup mulut dan hidung (surgical mask) apabila anda ke sana.


Soalan 7 : Apakah rawatan untuk jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV)?

Sehingga kini, tiada rawatan khusus atau ubat antivirus untuk jangkitan 2019-nCoV. Rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.


Soalan 8 : Adakah penyakit jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV) ini boleh menyebabkan kematian? Apakah pebezaannya dengan SARS?

Novel Coronavirus (2019-nCoV) ini berpotensi menyebabkan penyakit yang teruk dan kematian, terutamanya dalam kalangan orang tua dan orang yang mempunyai masalah kesihatan atau sistem imun yang rendah.

Walau bagaimanapun  ciri-ciri terperinci virus ini belum diketahui dan boleh berubah dari semasa ke semasa.


Soalan 9 : Bolehkah saya mengunjungi negara China?

KKM ingin menyarankan kepada orang ramai yang ingin melawati negara China agar menangguhkan perjalanan kecuali untuk urusan penting yang tidak boleh dielakkan.

Dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan ke China, segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas. Sila maklumkan sejarah perjalanan anda kepada doktor yang merawat bagi memastikan pengesanan awal jangkitan 2019-nCoV.


Soalan 10 : Apakah langkah-langkah pencegahan jangkitan 2019-nCoV?

Pengembara ke negara China dan selepas pulang ke Malaysia adalah diingatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah berikut:

a) Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;

b) Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta hand sanitizer untuk digunakan apabila perlu semasa dalam tempoh lawatan;

c) Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala semasa dalam tempoh lawatan;

d) Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan semasa dalam tempoh lawatan;

f) Elakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak dimasak dengan sempurna semasa dalam tempoh lawatan.


Soalan 11 : Rakan sekerja / rakan sekelas / kawan saya melancong ke China semasa cuti panjang sempena Tahun Baru Cina. Apabila mereka kembali, adakah mereka perlu mengasingkan diri mereka?

Mereka akan disaring di Pintu Masuk Antarabangsa Malaysia. Sekiranya dikesan demam dengan gejala jangkitan pernafasan, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

Sekiranya mereka sihat dan tidak bergejala, mereka akan diberi Home Assessment Tool serta Health Alert Card . Mereka dinasihatkan untuk tinggal di rumah dan perlu mengawasi kesihatan mereka selama 2 minggu. Sekiranya bergejala, segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan dengan membawa bersama Health Alert Card.