TOKYO: 41 penumpang dari sebuah kapal pesiaran dekat pesisir Jepun diuji positif bagi virus korona baru, menurut Menteri Kesihatan Jepun pada Khamis (6 Februari 2020).
Dengan kes-kes baru itu, jumlah kes jangkitan yang disahkan di kapal itu kini sekurang-kurangnya 61 orang, kata Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato.
Memetik laporan dari BBC, Pihak berkuasa Jepun menguji 273 penumpang di kapal pesiaran Diamond Princess yang dikuarantin setelah seorang bekas penumpang yang turun di Hong Kong bulan lalu, diuji positif bagi virus berkenaan. "Hasil 171 ujian selebihnya diperolehi dan 41 diuji positif," kata Kato. "Hari ini mereka akan dibawa ke hospital di beberapa wilayah, dan kami sedang membuat persediaan.
"Secara keseluruhan, daripada 273 sampel, 61 diuji positif," katanya. Terdapat lebih daripada 3,700 penumpang dan anak kapal di kapal pesiaran itu yang berada dekat pesisir Jepun sejak Isnin (3 Februari 2020).
Ia berlabuh di Yokohama pada Khamis untuk menambah bekalan bagi kuarantin yang mungkin berlanjutan hingga 19 Februari 2020.
20 orang yang disahkan dijangkiti virus itu sebelum ini sudah pun dipindahkan daripada kapal berkenaan dan dibawa ke hospital.
Tokyo sudah pun memindahkan lebih daripada 500 rakyat Jepun daripada Wuhan, dan menerima kritikan kerana pendekatan yang kurang ketat terhadap pelaksanaan kuarantin.
Terdapat beberapa kes jangkitan manusia ke manusia di Jepun, termasuk seorang pemandu pelancong dan pemandu bas yang dijangkiti virus itu setelah berhubungan dengan para pengunjung dari Wuhan. Kedua-dua individu tersebut tidak mengunjungi China dalam beberapa bulan kebelakangan ini. - PenaMinang.com