CORONAVIRUS : ARAB SAUDI HALANG PERJALANAN PENDUDUK NEGARANYA KE CHINA


RIYADH: Arab Saudi mengenakan larangan perjalanan ke China yang dilanda Coronavirus bagi rakyatnya dan warga asing yang bermastautin di negara itu. Mana-mana individu yang melanggar peraturan itu akan dikenakan hukuman atau denda, lapor media rasmi hari ini (6 Feb).

“Perjalanan ke China oleh rakyat atau penduduk negara ini digantung sementara sejajar dengan langkah-langkah pencegahan dalam membendung penularan wabak virus korona,” menurut agensi berita rasmi, SPA.


Golongan ekspatriat yang melanggar peraturan itu bakal berdepan larangan kembali semula ke negara berkenaan.

Krisis Coronavirus di China semakin memburuk dengan jumlah kematian meningkat kepada 563 hari ini. Ribuan lagi orang terperangkap dalam di atas sebuah kapal persiaran yang diletakkan di bawah arahan kuarantin.


Lebih daripada 28,000 orang seluruh China sudah dijangkiti virus berkenaan dan pihak berkuasa masih berusaha membendung penularan wabak, termasuk merayu jutaan orang untuk tidak meninggalkan kediaman masing-masing.

Sebanyak 24 negara turut mengesahkan kes virus itu, yang berpunca daripada sebuah pasar menjual hidupan liar di Wuhan, akhir tahun lalu.


Arab Saudi setakat ini masih bebas daripada sebarang kes, namun negara jiran mereka, Amiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan lima kes diuji positif, kesemuanya membabitkan pengunjung dari Wuhan. - PenaMinang.com