CORONAVIRUS : KOREA SELATAN & ISRAEL NASIHATKAN WARGANYA TANGGUH PERJALANAN KE SINGAPURA


SINGAPURA: Korea Selatan dan Israel sudah menasihati warganya untuk menangguhkan perjalanan ke Singapura disebabkan penularan 2019-nCoV Coronavirus, manakala Indonesia dan Taiwan sudah menyarankan agar langkah berjaga-jaga diambil apabila mengunjungi Singapura.

Nasihat perjalanan juga sudah dikeluarkan oleh Kuwait dan Qatar bagi Singapura, menyusuli tindakan Singapura menaikkan tahap amaran DORSCON ke warna Jingga (Oren) pada Jumaat lepas.

Setakat Isnin (10 Februari 2020), kes yang disahkan Coronavirus sudah meningkat kepada 45 di Singapura, di mana satu mesyuarat perniagaan di Hotel Grand Hyatt sudah disahkan sebagai kelompok penularan yang dikaitkan dengan kes di Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Britain.

Selain tanah besar China, Korea Selatan sudah "menggesa" warganya untuk mengelakkan daripada mengunjungi Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Taiwan, lapor The Korea Times.

Kementerian Kesihatan Israel pada Ahad lalu mengeluarkan nasihat kepada warganya agar rancangan perjalanan ke Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Macau dan Hong Kong patut "ditimbangkan semula".

Kementerian itu juga sudah memperluaskan definisi seorang pesakit yang disyaki menghidap virus itu iaitu termasuk mereka yang pergi ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari yang lalu, dan mengalami demam panas lebih 38 darjah Selsius, batuk, sukar bernafas atau simptom masalah pernafasan yang lain.

INDONESIA NAIKKAN AMARAN PERJALANAN

Indonesia juga sudah menasihati warganya yang hendak melakukan perjalanan ke Singapura untuk bersikap lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus itu.

Ini termasuk memastikan mereka sihat secara fisikal dan mental, memikirkan kebersihan peribadi dan alam sekitar, mencuci tangan secara kerap, memakai penutup muka, mengurangkan aktiviti di luar serta mengelakkan diri dari pergi ke kawasan awam yang sesak.

Nasihat ini diterbitkan sedang Indonesia pada Sabtu lalu menaikkan amaran perjalanan ke Singapura ke Kuning, tahap kedua daripada sistem tiga peringkat.

Taiwan pada Selasa juga sudah menaikkan amaran perjalanannya, menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya ke Singapura atau Thailand, dan jangan mengunjungi Hong Kong atau Macau kecuali atas keperluan mendesak.  - PenaMinang.com / CNA