WELLINGTON: Kerajaan New Zealand mengumumkan hari ini bahawa negara berkenaan akan menyekat kemasukan semua warga asing dari China berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak virus korona baru yang semakin meningkat di seluruh dunia. Memetik laporan dari NZHerald, sekatan tersebut berkuatkuasa mulai Isnin dan Kementerian Ehwal Luar serta Perdagangan juga meningkatkan nasihat perjalanan ke China ke tahap paling tinggi. Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan masih terdapat punca penyebaran virus yang belum dikenal pasti. “Penduduk tetap dan rakyat New Zealand yang berada di China masih boleh untuk pulang ke negara. “Mereka perlu diasingkan selama 14 hari, manakala bagi sesiapa yang telah melawat China dalam tempoh 14 hari lalu tidak akan dapat masuk dan tinggal di New Zealand. "Sekatan akan diletakkan pada mereka,” katanya pada Ahad. Jelas Ardern, kebanyakan pelawat yang tiba di New Zealand adalah untuk melancong dan ia mungkin meningkat risiko penyebaran wabak berkenaan. Bagaimanapun, tambah beliau dasar tersebut akan dikaji setiap 48 jam. Setakat ini, tidak ada kes jangkitan virus korona di New Zealand. - PenaMinang.com / NZH