AMERIKA SYARIKAT PERLU PERAKUI KONVENSYEN PBB MENGENAI UNDANG-UNDANG LAUT - PAKAR


KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2020 - Amerika Syarikat (AS) sepatutnya meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS),  sebagai kaedah meningkatkan penglibatannya dalam organisasi antarabangsa serta dengan negara-negara lain yang berpandangan sama mengenai isu Laut China Selatan, kata seorang pakar undang-undang antarabangsa.


Pengerusi merangkap profesor Charles H. Stockton di Pusat Undang-Undang Antarabangsa Stockton di Kolej Tentera AS, James Kraska bercakap pada persidangan tahunan Laut China Selatan, sebenarnya sudah tiba masanya AS bergabung dengan UNCLOS terutamanya jika ia digunakan sebagai kerangka kerja dalam kerajaan AS serta penglibatan antarabangsa.



"(UNCLOS) benar-benar bermanfaat bagi AS. Ia sangat penting kepada ekonomi dan perlindungan kuasa global ketenteraan kita," katanya pada Persidangan Laut China Selatan Tahunan Ke-10, baru-baru ini.


AS tidak pernah meratifikasi perjanjian berkenaan kerana tidak mendapat kelulusan Senat. Perjanjian, yang mula berkuat kuasa pada 16 November 1994 itu mempunyai 168 negara termasuk kuasa maritim utama seperti Rusia dan China.



Kraska berkata undang-undang antarabangsa seperti UNCLOS adalah satu proses kemasyarakatan untuk membuat keputusan berwibawa dan bergantung penglibatan sepenuhnya, yang masih kurang di pihak AS.


Sementara itu, ujar Kraska ada peluang baik untuk pentadbiran AS mengenakan sekatan kepada entiti China berhubung isu Laut China Selatan, terutama selepas AS mengumumkan pendiriannya yang lebih tegas terhadap tuntutan Beijing di kawasan itu.



"Mereka sudah berbincang; dan sejauh mana ia akan memberi kesan bermakna, tentu saja, ia sepatutnya dilakukan pada 2014 dan 2015," katanya, sambil menambah sekatan memberi kesan lebih baik dengan sokongan sekutu dan negara lain yang berpandangan sama.


"Jika anda boleh tarik sekali EU dan Jepun ... Maka anda boleh memberi kesan bermakna," katanya.



Sementara itu, seorang lagi pakar - Ketua program Undang-undang dan Dasar Laut Pusat Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Nasional Singapura, Robert Beckman -  berkata beliau dapati lebih banyak negara di Asia Tenggara lebih memberi penekanan terhadap UNCLOS untuk menyelesaikan masalah tuntutan maritim di Laut China Selatan.


Ditanya apakah beliau menaruh harapan terhadap Kod Tata Laku di Laut China Selatan (COC) yang bertujuan menangani dan mengurus pertikaian di kawasan Laut China Selatan, ujar Beckman "pasti" ia idak akan dapat menyelesaikan masalah tuntutan maritim.



Sebaliknya, COC menurutnya akan meningkatkan kerjasama dan hal-hal yang menjadi perhatian bersama antara ASEAN serta China dalam bidang seperti pencarian dan penyelamatan atau melindungi persekitaran marin.  


"Ini akan menyumbang kepada kekukuhan kepercayaan antara satu sama lain. Tetapi yang paling penting, ia dapat menangani kerangka kerja untuk menangani insiden di laut dan mencegah konflik," tambahnya.



Bacaan pertama Teks Rundingan Draf Tunggal mengenai COC selesai pada 2019.


Pada Perundingan Pegawai Kanan ASEAN-China ke-26 yang berlangsung 1 Julai 2020, kedua-dua pihak menyambut baik permulaan bacaan kedua teks rundingan itu. 


ASEAN dan China sedang berusaha menyelesaikan rundingan COC menjelang 2021.


Sumber : BERNAMA



Post a Comment

0 Comments