KHAS BUAT FRONTLINERS COVID-19, MENARA KL BAGI ANDA NAIK KE ATAS MENARA SECARA PERCUMA!


KUALA LUMPUR, 17 Ogos  -- Menara Kuala Lumpur menawarkan masuk percuma kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19 sebagai menghargai pengorbanan golongan itu.


Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Ainol Shaharina Sahar berkata menerusi promosi 'Untukmu Wiraku' itu,  petugas barisan hadapan boleh melawat Pelantar Pemandangan Terbuka  dan Pelantar Pemandangan secara percuma bermula hari ini hingga 16 Sept.



"Kami menyedari dedikasi para petugas barisan hadapan yang mempertaruhkan kesihatan dan keselamatan mereka untuk terus mengatasi COVID-19. Ini adalah hadiah daripada kami untuk anda semua," katanya pada majlis pelancaran kempen itu, di sini hari ini. 


Ainol Shaharina berkata promosi itu dikhaskan untuk petugas barisan hadapan warganegara Malaysia yang masih berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk organisasi penjagaan kesihatan swasta, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. 



Katanya petugas  hanya menunjukkan dokumen kerja yang sah ketika pembelian tiket di kaunter untuk menikmati promosi itu. 


"Mereka juga boleh membawa ahli keluarga bersama dengan caj RM10  setiap seorang untuk pengiring pertama dan kedua, manakala pengiring ketiga dan seterusnya dikenakan bayaran diskaun 50 peratus,” katanya, menambah pihaknya menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung dalam tempoh itu. 



Beliau berkata promosi yang diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu juga ditawarkan untuk ke Star View, iaitu Pelantar  Pemandangan di Menara Alor Setar, Kedah. 


Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid yang turut hadir menyifatkan promosi tersebut sebagai sesuatu yang istimewa dan pembakar semangat untuk pihaknya terus menabur bakti kepada negara. 



"Terima kasih kerana memberi pengiktirafan atas perkhidmatan kami, diharap kerjasama dan insiatif seperti ini akan diteruskan pada masa depan," katanya. 


Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab pula berharap petugas barisan hadapan tidak melepaskan peluang itu serta membuat perancangan awal agar boleh meluangkan masa bersama keluarga. 


"Yang berada di Lembah Klang mungkin lebih mudah untuk datang, tapi untuk yang jauh bolehlah merancang jadual dan mengambil kesempatan ini," katanya.


Sumber : BERNAMA


Post a Comment

0 Comments