ANDA NAK APA DALAM BELANJAWAN 2021? TENGKU ZAFRUL NAK DENGAR PANDANGAN ANDA!


KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2020 : Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, melancarkan portal rasmi bagi mengumpulkan cadangan dan maklum balas Belanjawan 2021, hari ini.


Menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, pelancaran itu diadakan dalam lawatan rasmi beliau ke Johor sempena Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021.



Pihak awam boleh mengemukakan cadangan dan maklum balas secara terus kepada kementerian itu mulai hari ini hingga 15 September depan melalui laman sesawang http://belanjawan2021.treasury.gov.my.


"Lawatan rasmi ke Johor kali ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk mendekati pihak berkepentingan melalui sesi libat urus.



"Ia bagi mendapatkan maklum balas mengenai inisiatif pakej pemulihan ekonomi PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) serta mengumpul cadangan awal dalam merangka Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November depan," menurut kenyataan itu.


Dalam lawatan itu, Tengku Zafrul turut mengadakan sesi dialog bersama wakil sektor pendidikan dan farmaseutikal, usahawan wanita perusahaan kecil dan sederhana serta bertemu beberapa ibu tunggal yang menerima bantuan bawah PENJANA.



Menurut Kementerian Kewangan, antara topik diketengahkan pada sesi dialog bersama wakil sektor pendidikan di Educity Iskandar Malaysia ialah usaha mempromosikan institusi pendidikan di Iskandar Malaysia sebagai destinasi pendidikan berkualiti dari peringkat sekolah hingga pengajian tinggi serta memperkasakan bidang teknikal dan vokasional.


Turut disentuh ialah memudah cara pengurusan kemasukan pelajar antarabangsa dalam era norma baharu dan meningkatkan pelaburan dalam sektor pendidikan.



Mengulas status ekonomi semasa, Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2020 yang merekodkan penguncupan sebanyak 17.1 peratus, adalah disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, yang telah mengekang aktiviti ekonomi dalam tempoh berkenaan.


Bagaimanapun, beliau berkata, apabila dianalisis secara lebih mendalam, penguncupan KDNK jelas dilihat berkurangan dari April (-28.6 peratus) kepada Mei (-19.5 peratus) dan seterusnya penambahbaikan mendadak berbentuk-V bagi Jun (-3.2 peratus).


Ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi mulai pulih pada Mei lalu apabila ekonomi dibuka semula secara berperingkat dan kadar jangkitan COVID-19 lebih terkawal. 


Sumber : BERNAMA


Post a Comment

0 Comments