KECANDUAN TERMA "ANAK MUDA" DALAM POLITIK MALAYSIA


Oleh : Taufiq Tuah*


Akhir-akhir ini telah tular cerita tentang parti orang muda yang dibawakan oleh Syed Sadiq. Sefaham saya, 'muda' yang dimaksudkan ialah berumur 30 tahun ke bawah. Membawa hasrat untuk mengkehadapankan orang muda di dalam kerajaan sebagai pemimpin. Banyak tersebar di Twitter.


Saya rasa sangat terpanggil untuk menuliskan pandangan saya ini kerana saya juga orang muda yang mana umur saya juga belum capai 30 tahun. Maka saya juga layak mengisi borang parti itu. Namun, sangat penting untuk saya mengajak para pembaca untuk meneliti dahulu tentang parti orang muda ini.


Pertamanya, kita kembali kepada Al-Quran dan Hadis. Tidak ada sesuatu hal pun yang kita patut fikirkan tanpa mengambil kira Al-Quran dan Hadis.


Di manakah letaknya 'usia' sebagai kayu ukur kelayakan untuk memerintah? Kita kembali kepada generasi Rasulullah salallahualaihiwasalam dan para sahabat. Rasulullah Salallahualaihiwasalam sendiri hijrah ke Madinah dan sekaligus menjadi pemimpin di sana ialah pada umur baginda 52 tahun. Saidina Abu Bakar menjadi khalifah pada umur lebih kurang 61 tahun. Saidina Umar pula lebih kurang 53 tahun. Saidina Uthman pula lebih kurang 68 tahun manakala Saidina Ali pula dalam lebih kurang 54 tahun. Umur 5 insan terbaik ini menjadi pemimpin pada usia yang agak tua. Hatta nabi menjadi rasul juga pada umur 40 tahun. Maka secara mudahnya di sini boleh dikatakan, umur 5 insan agung ini telah lebih dari 30 tahun ketika menjadi pemimpin. Seorang mujaddid, Khalifah Umar Abdul Aziz pula menjadi khalifah pada umur 36 atau 37 tahun.


Namun, perlu pula kita lihat betapa Rasulullah juga pernah melantik beberapa orang muda sebagai pemimpin. Contohnya seperti Usamah bin Zaid yang ketika itu berumur 18 tahun telah dilantik sebagai pemimpin pasukan perang untuk melawan Romawi.


Daripada apa yang kita lihat, menunjukkan bahawa umur sebenarnya tidak memainkan peranan di dalam kayu ukur 'bagusnya' pemerintahan seseorang. Seorang pemimpin yang bagus itu hanyalah pemimpin yang bertindak sebagaimana hukum-hukum Allah dan amanah sebagaimana dalil,


"Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir." [Surah Al-Maidah: 44]


“Sesungguhnya manusia terbaik yang anda tunjuk untuk bekerja adalah orang yang kuat dan amanah.” [Surah Al-Qashas: 26]


PARTI BAHARU YANG SAMAR - SAMAR


Sebagai sebuah parti baharu, maka sangat perlu untuk parti itu menentukan pendirian mereka. Saya faham bahawa parti ini sebenarnya belum pun dirasmikan secara formal. Masih ditakuk bualan-bualan. Namun tetap jua pihak parti telah menberikan keterangan di beberapa wawancara dan ciapan 'tweet' di laman 'Twitter'  Apa yang saya boleh katakan, kedudukan parti ini juga masih samar.


1. Parti ini tiada pendirian ideologi. Seakan-akan cuba menjadi 'centre' diantara konservatif dan liberal. Maka diajaknya pelbagai pihak daripada pelbagai ideologi untuk mengisi ruangan keahlian. Kesannya di waktu mendatang, akan muncul masalah dalaman parti berkaitan halatuju dan prinsip. Kerana air tidak akan bercampur dengan minyak. 


Sudi kah orang-orang konservatif, pro-Islamist di dalam parti ini berjuang sebumbung dengan puak-puak liberal yang sering mempersendakan, memperolokkan dan memperendahkan ayat-ayat Allah? Ingatlah , telah turun kalam Allah,


“Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, tinggalkanlah mereka hingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu).” [Surah al-An’am: 68]


Ini ialah perintah Allah apabila kita berhadapan, berjuang, bermajlis dan bersemeja dengan golongan yang membawa syubhat (termasuk liberal, syiah, LGBT dll). Allah memerintahkan kita untuk meninggalkan mereka. Kerana? Kerana syubhat itu sendiri ibarat jarum. Kita tidak sedar bila kita akan terkena syubhatnya. Apatah lagi apabila kita berhusnuzon dengan golongan-golongan ini. Naif dan jahil yang berlarutan. Maka jauhilah mana-mana golongan yang mengaku diri mereka 'centrist' kerana mereka ialah pintu-pintu syubhat yang besar. Apa pun, saya belum dengar apa-apa keterangan rasmi yang jelas daripada Syed Sadiq berkenaan dengan ideologi parti baharunya.


Jika pertengkaran dalamn ini berlarutan, saya tidak terkejut pada suatu waktu nanti, akan berlakunya banyak adegan melompat keluar parti.


2. Adakah parti ini akan ada had umur sehingga umur 30 tahun sahaja? Bagaimana pula dengan ahli yang masuk semenjak umur 29, lalu dua tahun lagi terpaksa dilucutkan keahliannya. Bagaimana kalau pemimpin yang berumur 31 tahun itu menggerakkan jalan kerja dengan baik, apakah juga akan dilucutkan? Jika tidak dilucutkan, adakah parti ini akan menerima keahlian sejauh umur 40 tahun? Jika begitu, maka nama Parti Orang Muda sudah tidak realaven lagi. 


Di sini ialah soalan terbesarnya, di mana ahli yang usianya lebih daripada 30 tahun akan dicampak? Adakah akan tertubuh sebuah parti lagi iaitu Parti Orang Tua? Saya anggap ini ialah kelompangan yang berlaku di dalam jenis parti politik yang berlandaskan umur.


Saya rasa kaedah yang tepat untuk mengkehadapankan orang muda di dalam pemerintahan ialah, dengan mengkehadapankan calon-calon sayap muda yang sedia ada di dalam setiap parti. Sepertimana BERSATU boleh kehadapankan calon daripada ARMADA sebagaimana yang memang telah dilakukan dahulu dan menaikkan nama Syed Sadiq. Juga, sekarang kita melihat adanya YB Wan Ahmad Fayhsal (ARMADA) sebagai Timb Men Belia dan Sukan. YB Ahmad Marzuk (EXCO Pemuda PAS) sebagai Timb Men JPM Hal Ehwal Agama. Juga YB KJ (Pemuda UMNO) sebagai Men Sains dan Teknologi. 


Apabila ahli daripada sayap pemuda ini mula dikehadapankan, maka pihak parti perlu meneliti samada mereka masih layak menyandang jawatan ini di masa akan datang atau tidak. Jika ya, maka selepas umur pemuda, masih juga boleh menyambung jasa di dalam parti. Jika tidak, maka boleh berikan peluang kepada ahli yang lain. Saya kira ini ialah kaedah yang lebih tepat kerana ada sahaja orang tua yang elok kerjanya. Kita tidak boleh menolak orang seperti ini hanya kerana 'tua' nya.


3. Jika parti ini ditubuhkan dengan alasan "BOSAN DENGAN DRAMA POLITIK MALAYSIA YANG HANYA MENYAMBUNG DENDAM LAMA".


Saya secara peribadi juga bersetuju. Saya juga bosan dengan drama politik yang menyambung daripada generasi ke generasi. Sehingga mengajak anak mereka pula untuk memasuki politik bagi menyambung drama politik lama. Sehingga bukan perkara yang asing lagi bagi mana-mana parti ada ayah dan ada anaknya. Malah sesetengah parti ada anak menantu, anak saudara dan isteri juga.


Inilah mungkin asbab utama orang muda di Twitter mulai menyokong parti orang muda kerana jemu dengan politik semasa. Alasan yang sama juga (mengubah corak politik) telah melahirkan beberapa parti lama dahulu seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM). 


Namun saya percaya jika itulah alasannya, maka membentuk barisan kabinet muda yang baharu tidak akan mengubah apa-apa situasi. Hal ini kerana, jika pun parti muda ini menang, itu bukanlah mengubah corak politik Malaysia. Sebaliknya hanya bakal menambahkan 'watak' untuk drama politik ini. Watak dendam yang berterusan. Malah sememangnya itulah lumrah di dalam demokrasi, si pengalah akan tidak puas hati kepada yang menang.


Malah, nama Syed Sadiq juga sememangnya telah tersenarai di dalam watak 'drama politik' Malaysia.


Orang muda akan terlibat di dalam pergaduhan mahu menjadi kerajaan. Berebut juga dengan watak-watak lama. Malah saya tidak terkejut jika parti ini akhirnya bersekutu dengan mana-mana kapal besar lainnya samada PH atau PN atau apa sahaja nama lain bakal muncul nanti. Terpaksa berbahagi kerusi dengan parti-parti lain dan tidaklah mendapat 100% menteri kabinet muda pada waktu itu.


4. Kenapa ingin dipecahkan lagi undi Melayu? Hakikat yang jelas ialah, parti ini akan menarik ramai pengundi muda Melayu. Setelah diajaknya PU dan ramai tokoh muda Melayu ternama. Hakikat yang jelas ialah, pemuda-pemuda Cina dan India tidak akan ramai bersama parti ini. Sebab apa? Sebab mereka sudah ada satu parti yang umum pun tahu parti apa yang bakal mereka taati.


Selepas parti-parti Melayu yang sedia ada cuba bersatu (sama ada namanya MN atau PN), kemudian muncul pula parti-parti yang seolah-olah cuba memecahkan undi Melayu. Jika berlaku tiga penjuru, maka akan muncul MN@PN - PH - Parti Orang Muda?


Tidakkah itu akan memecahkan lagi undi Melayu yang sedia ada? Itu tidak termasuk beberapa parti picisan lain seperti PSM dan calon BEBAS.


JANGAN OBSES DENGAN POLITIK


Maka saya mencadangkan agar kita semua tidak perlu terlalu gila dengan politik. Bayangkan, tidak sampai berapa tahun di Malaysia telah muncul lebih daripada 5 buah parti. BERSATU, AMANAH, WARISAN, IKATAN, PEJUANG dan yang terbaharu, Parti Orang Muda?


Apakah manfaatnya menubuhkan parti yang pelbagai ini dalam negara? Maka saya cadangkan untuk cukup kita bantu kerajaan yang ada dan baiki mana yang silap.


Menasihati pemerintah kita yang sedia ada  dengan adab dan ikhlas.


“Barangsiapa yang ingin menasihati penguasa dalam suatu perkara, maka janganlah dia menasihati secara terang-terangan. Akan tetapi, ambillah tangannya dan bersendiri dengannya. Jika sang penguasa menerima (nasihatmu), itulah yang diinginkan. Jika tidak, maka dia telah menunaikan kewajibannya.” [HR. Ahmad]


“Dan dipilihlah berbicara dengan penguasa secara sembunyi-sembunyi daripada berbicara di hadapan banyak orang. Bahkan diharapkan untuk berbicara dengannya secara sembunyi-sembunyi tanpa ada orang yang ke tiga.” [Tanbiihul Ghaafiliin, hal. 64]


Pada hari ini, ada pelbagai juga jalan lain untuk menyampaikan pendapat dengan kaedah yang betul. Sama ada melalui jabatan yang berkaitan atau boleh terus 'private message' akaun-akaun sosial media mereka. Juga akaun-akaun media sosial jabatan-jabatan ini. Tidak lupa juga dengan menghantar e-mail atau menghantar sahaja surat. Boleh juga terus pergi dengan baik ke bilik-bilik gerakan ADUN atau bilik gerakan parti mereka di kawasan anda. Selagi mana tidak mengaibkan mereka.


Logik akalnya, jika orang menasihati kita. Kita suka orang menasihati kita secara terbuka (aib) atau secara secara sembunyi? Pastilah sembunyi. Maka begitulah juga pemerintah kita. 


KESIMPULAN


Itu sahaja yang saya ingin sampaikan. Saya berpandangan orang muda juga patut diberikan peluang untuk memimpin. Namun wahai orang muda, ketahuilah memimpin itu ialah tanggungjawab yang kita perlu jawab di hadapan Allah.


Tentang adanya YB yang memperendahkan YB yang lebih muda dalam parlimen, saya berharap agar Parlimen secara umumnya perlu mendewasakan diri. Tidak memperendahkan sesama YB. Tunjukkan akhlak yang mulia di hadapan rakyat yang sedang menonton. Persidangan Parlimen bukan sahaja ditonton oleh orang dewasa, tetapi juga oleh pelajar-pelajar sekolah. Maka sila lah berkelakuan baik. Hanya nasihat umum kepada parlimen secara umumnya. Semoga Allah menjaga Malaysia dan memelihara Malaysia daripada segala anasir-anasir buruk daripada musuh-musuh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Wallahualam.


14 Muharram 1442H / 2 September 2020


* Penulis merupakan salah seorang pengendali laman Pena Malaysia

Post a Comment

0 Comments