SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB : PENGENALAN


Nama Lengkapnya 

Beliau adalah Syeikh al-Islam al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin Barid bin Muhammad bin al-Masyarif at-Tamimi al Hambali an-Najdi.

Tempat dan Tarikh Lahirnya

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dilahirkan pada tahun 1115H (1701) di kampung Uyainah (Najd), lebih kurang 70 km arah barat laut kota Riyadh, ibukota Arab Saudi sekarang.

Beliau meninggal dunia pada 29 Syawal 1206H (1793M) dalam usia 92 tahun, setelah mengabdikan diri selama lebih 46 tahun dalam memangku jawatan sebagai menteri penerangan Kerajaan Arab Saudi yang terkenal sebagai kerajaan Wahabiyah.

Pendidikan dan Pengalaman

Muhammad bin Abdul Wahab berkembang dan dibesarkan dalam kalangan keluarga yang berpendidikan. Ayahnya adalah ketua jabatan agama setempat. Sedangkan datuknya adalah seorang qadhi (mufti besar), tempat di mana masyarakat Najd menanyakan segala sesuatu yang bersangkutan dengan agama. Oleh kerana itu, tidak hairanlah apabila kelak beliau juga menjadi seorang ulama besar seperti datuknya. 

Sebagaimana lazimnya keluarga ulama, maka Muhammad bin Abdul Wahab sejak masih kanak-kanak lagi telah dididik dan ditempa jiwanya dengan pendidikan agama, yang diajar sendiri oleh ayahnya, Syeikh Abdul Wahab.

Sejak kecil lagi Muhammad bin Abdul Wahab sudah kelihatan tanda-tanda kecerdasannya. Beliau tidak suka membuang masa dengan sia-sia seperti kebiasaan tingkahlaku kebanyakan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Berkat bimbingan kedua ibu bapanya, ditambah dengan kecerdasan otak dan kerajinannya, Muhammad bin Abdul Wahab telah berjaya menghafaz al Quran 30 Juz sebelum berusia sepuluh tahun.

Setelah beliau belajar dari ibu bapanya tentang beberapa bidang pengajian dasar yang meliputi bahasa dan agama, beliau diserahkan oleh ibu bapanya kepada para ulama setempat sebelum dikirim oleh ibu bapanya ke luar daerah.

Tentang ketajaman fikirannya, saudaranya Sulaiman bin Abdul Wahab pernah menceritakan begini :

"Bahawa ayah merasa sangat kagum atas kecerdasan Muhammad, padahal ia masih bawah umur. Beliau berkata 'Sungguh aku telah mengambil manfaat dari ilmu pengetahuan anakku Muhammad, terutama dalam bidang ilmu Fiqh"

Muhammad bin Abdul Wahab mempunyai daya kecerdasan dan ingatan yang kuat, sehingga apa sahaja yang dipelajarinya dapat difahami dengan cepat sekali, kemudian apa yang telah dihafalnya tidak mudah pula hilang dalam ingatannya.

Demikianlah keadaanya, sehingga kawan-kawan sepersekolahannya kagum dan hairan kepadanya.

Belajar di Makkah, Madinah dan Basrah

Setelah mencapai usia dewasa, Muhammad bin Abdul Wahab diajak oleh ayahandanya untuk bersama-sama pergi ke tanah suci Makkah Al Mukarammah untuk menunaikan rukun ISLAM yang kelima - mengerjakan haji di Baitullah. Dan manakala telah selesai menunaikan ibadah Haji, ayahnya terus kembali ke kampung halamannya. Adapun Muhammad, ia tidak pulang, tetapi terus tinggal di Makkah selama beberapa tahun, kemudian berpindah pula ke Madinah untuk melanjutkan pengajian di sana.

Di Madinah, beliau berguru pada dua orang ulama besar dan termasyhur di waktu itu. Kedua-dua ulama tersebut sangat berjasa dalam membentuk pemikirannya, iaitu Syeikh Abdullah bin Ibrahim bin Saif an-Najdi dan Syeikh Muhammad Hayah al-Sindi.

Selama berada di Madinah, beliau sangat prihatin menyaksikan ramai umat ISLAM tempatan mahupun penziarah dari luar kota Madinah yang telah melakukan perbuatan-perbuatan tidak senonoh dan tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang mengaku dirinya Muslim. Beliau melihat ramai umat yang berziarah ke makam Nabi mahupun ke makam-makam lainnya untuk memohon syafaat, bahkan meminta sesuatu hajat pada kuburan mahupun penghuninya, yang mana hal ini sama sekali tidak dibenarkan oleh agama ISLAM. Apa yang disaksikannya itu menurut Muhammad adalah sangat bertentangan dengan ajaran ISLAM yang sebenarnya.

Kesemua inilah yang semakin mendorong Muhammad untuk lebih mendalami pengkajiannya tentang ilmu ketauhidan yang murni, yakni aqidah Salafiyyah. Bersamaan dengan itu, beliau berjanji kepada dirinya sendiri, bahawa pada suatu ketika nanti, beliau akan mengadakan perbaikan (islah) dan pembaharuan (tajdid) dalam masalah yang berkaitan dengan ketauhidan, iaitu mengembalikan aqidah umat kepada sebersih-bersihnya tauhid yang jauh dari khurafat, tahyul dan bid'ah. Untuk itu, beliau mesti mendalami sedalam-dalamnya tentang aqidah ini melalui kitab-kitab hasil karya ulama-ulama besar di abad-abad yang silam.

Di antara karya-karya ulama terdahulu yang paling terkesan dalam jiwanya adalah karya-karya Syeikh al-ISLAM Ibnu Taimiyyah. Beliau adalah mujaddid besar abad ke 7 Hijjriyah yang sangat terkenal.

Demikianlah sangat meresapnya pengaruh dan gaya Ibnu Taimiyyah dalam jiwanya, sehingga Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab bagaikan salinan Ibnu Taimiyyah. Khususnya dalam aspek ketauhidan, seakan-akan semua yang diidam-idamkan oleh Ibnu Taimiyyah semasa hidupnya yang penuh ranjau dan tekanan dari pihak berkuasa, semuanya telah ditebus dengan kejayaan Ibnu Abdul Wahab yang hidup pada abad ke 12 Hijriyyah itu.

Setelah beberapa lama menetap di Makkah dan Madinah, beliau kemudian berpindah ke Basrah. Disini beliau bermukim lebih lama, sehingga banyak ilmu-ilmu yang diperolehinya terutama dalam bidang hadis dan musthalahnya, fiqh dan usul fiqhnya, tatabahasa (ilmu qawa'id) dan tidak ketinggalan pula lughatnya semua.

Lengkap sudahlah ilmu yang diperlukan oleh seorang yang pintar yang kemudian dikembangkan sendiri melalui 'self-study' (belajar sendiri) sebagaimana lazimnya ulama besar ISLAM mengembangkan ilmu-ilmunya. Di mana bimbingan guru hanyalah sekadar modal dasar yang selanjutnya untuk dapat dikembangkan dan digali sendiri oleh yang bersangkutan.

Mulai Berdakwah

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab memulai dakwahnya di Basrah, tempat di mana beliau bermukim untuk menuntut ilmu ketika itu. Akan tetapi dakwahnya di sana kurang berjaya, kerana menemui banyak rintangan dan halangan dari kalangan para ulama setempat.

Dalam berdakwah, Syeikh Muhammad menggunakan tiga cara seperti seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran, iaitu :

i. Bilhikmah = dengan landasan ilmu yang memadai

ii. Wal maui'idhatil Hasanah = Pendekatan nasihat yang baik

iii. Wajadilhum billati hiya ahsan = Berdebat dengan cara yang baik

Di antara pendukung dakwahnya di Kota Basrah ialah seorang ulama bernama Syeikh Muhammad al-Majmuii'. Tetapi Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab bersama pendukungnya mendapat tekanan dan ancaman dari sebahagian ulama su', iaitu ulama jahat yang memusuhi dakwahnya di sana; kedua-dua mereka diancam akan dibunuh. Akhirnya beliau meninggalkan Basrah dan mengembara ke beberapa negeri ISLAM untuk meluaskan ilmu dan pengalamannya.

Di samping mempelajari keadaan negeri-negeri ISLAM yang berjiran, demi kepentingan dakwahnya di masa akan datang, dan setelah menjelajahi beberapa negeri ISLAM, beliau lalu kembali ke al-Ihsa menemui gurunya, Syeikh Abdullah bin Abd Latif al-Ihsai untuk mendalami beberapa bidang pengajian tertentu yang selama ini belum sempat di dalaminya.

Di sana beliau bermukim untuk beberapa waktu, dan kemudian beliau kembali ke kampung asalnya, Uyainah, tetapi tidak lama kemudian beliau menyusul orang tuanya yang merupakan bekas ketua jabatan urusan agama Uyainah ke Haryamla, iaitu suatu daerah di  Uyainah juga.

Adalah dikatakan bahawa di antara orang tua Syeikh Muhammad dan pihak berkuasa Uyainah, berlaku perselisihan pendapat, yang oleh kerana itulah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab terpaksa berhujrah ke Haryamlah pada tahun 1139.

Setelah perpindahan ayahnya ke Haryamla kira-kira setahun, barulah Syeikh Muhammad menyusul pada tahun 1140H. Kemudian beliau bersama bapanya itu mengembangkan ilmu dan mengajar serta berdakwah selama lebih kurang 13 tahun lamanya, sehingga bapanya meninggal dunia di sana pada tahun 1153.

Setelah 13 tahun menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar di Haryamla, beliau mengajak pihak berkuasa setempat untuk bertindak tegas terhadap kumpulan penjahat yang selalu melakukan rusuhan, rampasan, rompakan dan pembunuhan. Maka kumpulan tersebut tidak senang kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab lalu mereka mengancam hendak membunuhnya. Syeikh Muhammad terpaksa meninggalkan Haryamla, berhijrah ke Uyainah tempat bapanya dan beliau sendiri dilahirkan.

Post a Comment

0 Comments