ARAB SPRING & KESILAPAN TERBESAR POLITIK YAMAN: KISAH DISEBALIK KEBANGKITAN SYIAH HOUTHI


Pernah tak korang terfikir, macam mana sebuah kumpulan tempatan yang bermula di kawasan pergunungan secara tiba-tiba boleh mengendalikan pegang peluru berpandu, dron, dan selain mengawal salah satu laluan kapal paling sibuk di dunia?

Bagi orang yang pernah berada di Yaman semasa gelombang Arab Spring, perkembangan ini memang sangat mengejutkan. Jom kita pusing balik masa (flash back) dan tengok kronologi macam mana kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Ansar Allah atau lebih tepat Houthi ini boleh sampai ke tahap hari ini.

1. Sejarah Asal: Akar Diri & Konsep "Garis Keturunan"

Semuanya bermula seawal tahun 893 Masihi. Waktu tu, satu cabang Syiah yang dipanggil Zaidiyah mula bertapak kat kawasan pergunungan utara Yaman.

Uniknya, Zaidiyah ni dikira mazhab Syiah yang paling dekat dengan Ahli Sunnah Waljamaah (Sunni). 

Tapi ada satu pegangan utama mereka: kuasa politik adalah hak mutlak keturunan Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam.

Maksudnya, kuasa bukan ditentukan melalui pilihan raya atau undian rakyat, tapi berdasarkan garis keturunan.

Sistem pemerintahan mereka (dipanggil Imamah) bertahan secara turun-temurun sehinggalah pada tahun 1962, apabila satu revolusi berlaku dan Yaman bertukar menjadi sebuah negara republik moden.

Bagi golongan agama Zaidiyah tegar, perubahan ini bukan satu kemajuan — tapi satu ancaman kepada identiti mereka.

2. Tahun 1990-an: Kelahiran "Belia Beriman"

Bila Yaman Utara dan Selatan bersatu pada tahun 1990 di bawah perlembagaan demokratik, kebanyakan ulama Zaidiyah boleh terima perubahan tu. Tapi ada satu puak tegar yang menolak habis-habisan.

Di sinilah muncul seorang pemuda bernama Hussein Badreddin Al-Houthi.

Pada awal 90-an, Hussein menubuhkan satu gerakan dipanggil Belia Beriman (Believing Youth) di wilayah Saada untuk menghidupkan semula fahaman Zaidiyah. Tapi segalanya berubah selepas dia melawat Iran pada tahun 1995.

Bila balik Yaman, Hussein mula mengabungkan fahaman Zaidiyah dengan ideologi Khomeinisme dari Iran. Dari sebuah kumpulan pengajian biasa, mereka mula berubah menjadi sebuah gerakan militia yang bertindak seakan-akan Hizbullah di Lubnan.


3. Siri Peperangan & Pintu Peluang (2004–2011)

Antara tahun 2004 hingga 2010, tentera Nasional Yaman dan Houthi bertempur hebat sebanyak 6 kali. Hussein Al-Houthi terbunuh pada perang pertama (2004), dan kepimpinan diambil alih oleh adiknya, Abdul-Malik Al-Houthi.

Walaupun Houthi selalu tewas dalam pertempuran terbuka, mereka berjaya membina cengkaman kuasa yang amat kukuh di kawasan pergunungan Saada.

Bila kebangkitan Arab Spring meletus pada 2011, rakyat Yaman turun ke jalanan menuntut Presiden Ali Abdullah Saleh meletak jawatan. Aktivis sivil waktu tu ingat Houthi cuma pemberontak tempatan yang boleh diajak berunding. Jadi, mereka jemput Houthi sertai gerakan demokrasi.

Tapi rupa-rupanya ianya satu kesilapan besar.

Semasa semua orang sibuk berdemonstrasi di ibu negara (Sanaa), Houthi secara senyap-senyap buat perjanjian dengan penyeludup senjata dan merampas seluruh wilayah Saada. Saada akhirnya menjadi wilayah pertama yang jatuh sepenuhnya ke tangan mereka.

4. Bantuan Luar & Langkah Licik Merampas Ibu Negara

Selepas tahun 2011, Iran dan Hizbullah mula memberikan perhatian serius kepada Houthi. Rekrut-rekrut Houthi mula dihantar ke Iran dan Lubnan untuk mendapatkan latihan telekomunikasi, pengendalian peluru berpandu, dan teknologi dron. Senjata dan bahan letupan juga mula diseludup masuk.

Satu perkara yang langsung orang tak jangka: Houthi kemudiannya membuat pakatan taktikal dengan bekas Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh (yang mereka tentang bermati-matian selama sedekad) bagi menggulingkan Presiden Yaman yang sah pada ketika itu, Abdur Rabbo Mansour Al Hadi (yang juga bekas Timbalan Presiden Yaman, ketika Ali Abdullah Saleh menjadi Presiden).

Menjelang September 2014, Houthi sudah cukup bersedia. Mereka berarak masuk ke ibu negara Sanaa tanpa tentangan dari Tentera Nasional Yaman.

Bila dah pegang kuasa, mereka terus bertindak agresif:

Masyarakat Sivil & Media: Aktivis dan wartawan ditangkap, diseksa, dan puluhan agensi media ditutup.

Minoriti Agama: Komuniti Yahudi purba Yaman (yang bertapak lebih 3,500 tahun) serta pengikut Baha'i diganggu dan dihalang keluar dari negara.

Sistem "Penyelia" (Supervisor): Mereka tak ganti kementerian secara rasmi, tapi meletakkan "penyelia" di setiap agensi dan kejiranan untuk mengawal kewangan, membuat peras ugut, dan memaksa rekrut baru untuk menyertai mereka.

5. Bagaimana Keadaan Mereka Hari Ini?

Hari ini, Houthi menguasai sebahagian besar kawasan barat laut Yaman, termasuk ibu kita Sanaa dimana majoriti penduduk Yaman tinggal (kira macam Komunis Kuasai Lembah Klang la).

Selepas peristiwa 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang di Gaza, Houthi mula menggunakan dron dan peluru berpandu tajaan Iran untuk menyerang kapal-kapal dagang di Laut Merah. Gerakan yang dulunya cuma kumpulan agama tempatan kini memegang kunci salah satu laluan perkapalan paling strategik di dunia.

Kesimpulan

Bagi kebanyakan pemerhati, konflik di Yaman bukan sekadar perang proksi atau krisis kemanusiaan. Pada hakikatnya, ia masih pertikaian yang sama sejak dulu lagi: pertembungan antara sebuah republik moden yang cuba dibina rakyat Yaman pada tahun 1962, dengan sebuah gerakan yang mahu mengembalikan sistem pemerintahan berasaskan garis keturunan.


Post a Comment

0 Comments