LAWATAN RASMI TYT SHINZO ABE PERDANA MENTERI JEPUN KE MALAYSIA 25 – 26 JULAI 2013

TYT Shinzo Abe, Perdana Menteri Jepun ke-96 yang telah dilantik pada Disember 2012, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia mulai 25 hingga 26 Julai 2013 bersempena dengan lawatan beliau ke rantau Asia Tenggara yang turut merangkumi Singapura dan Filipina.

Lawatan ini merupakan lawatan kali kedua TYT Shinzo Abe ke Malaysia sebagai Perdana Menteri Jepun di mana lawatan pertama beliau telah diadakan pada Ogos 2007 sempena sambutan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan dua hala di antara Malaysia dan Jepun.

Semasa di Malaysia, TYT Shinzo Abe dijadual akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala serta isu-isu semasa berkaitan hubungan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Hala tuju bagi Dasar Pandang ke Timur (Look East Policy) juga akan dibincangkan semasa mesyuarat dua hala di antara kedua-dua Perdana Menteri dengan tumpuan pada perluasan pembangunan ekonomi sejajar dengan keutamaan kedua-dua buah negara.

Jepun kekal sebagai antara rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Asia Timur iaitu yang kedua terbesar selepas China dan merupakan rakan dagang yang ketiga terbesar di dunia pada tahun 2012 dengan jumlah perdagangan bernilai US$47.03 bilion (RM145.32 bilion). Dari segi pelaburan, Jepun adalah pelabur asing yang terbesar bagi tempoh 1980 – 2012 dengan nilai pelaburan mencatat jumlah US$22 bilion yang mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan.

Lawatan rasmi oleh TYT Shinzo Abe ini dilihat akan mempereratkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Jepun dan seterusnya meningkat serta memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala bagi menyumbang ke arah visi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kementerian Luar Negeri, Malaysia
PUTRAJAYA

24 Julai 2013

Post a Comment

0 Comments