BUKTI DIAMBIL SECARA 'TIDAK SENGAJA' KERANA ANWAR ENGGAN BEKERJASAMA - PENDAKWARAYA


Oleh : Azizul Osman

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan dalam prosiding rayuan kes liwat II, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembantu beliau, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberitahu mahkamah bahawa ketiga-tiga bukti yang dikemukakan diambil secara ‘tidak sah’ boleh dikemukakan sebagai bukti dalam prosiding rayuan.

Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, kaedah pengambilan DNA itu digunakan kerana Anwar enggan memberikan sampel DNA beliau seperti yang telah diminta.

Ketiga-tiga barang bukti tersebut iaitu tuala ‘good morning’, berus gigi dan botol air mineral yang digunakan Anwar diambil ketika pemimpin itu di dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Dalam hujah balasnya, beliau menekankan beberapa perkara yang dianggap mustahak terhadap kes berkenaan kerana Anwar didapati menggunakan ketiga-tiga bahan bukti itu.

“Ketiga-tiga item ini dibawa sendiri oleh perayu (Anwar) dan ahli kimia memperolehi DNA Anwar daripada ketiga-tiga item tersebut. DNA perayu padan dengan DNA ‘lekaki Y’ yang dikeluarkan daripada tubuh Mohd. Saiful.

“Kita tahu ini adalah DNA kepunyaan perayu yang kita bandingkan adalah eksibit-eksibit dalam lokap. Kita tahu orang lain tidak gunakan eksibit ini hanya perayu sahaja,” kata Shafee kepada media selepas selesai membentangkan hujah di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman Putrajaya.

Berdasarkan hujahan kes, kata Muhammad Shafee, pihaknya sudah mencapai tahap 65 peratus pembentangan hujah dalam pendakwaan kes berkenaan.

“Esok semua hujahan baru akan dikemukakan, kes-kes yang baru semuanya esok akan dikemukakan,” ujarnya.

Pihak pendakwaan dijangka akan menghabiskan hujah balas esok dan dijadualkan selesai sebelum waktu rehat pada pukul 1 petang (Rabu - 4 November 2014).

Sumber : ABNXcess

Post a Comment

0 Comments