CONTOHI KESANTUNAN MASYARAKAT JEPUN


Oleh : Ravichandran D.J Paul

KUALA LUMPUR - Orang Jepun bukan sahaja bersikap merendah diri, malah berdisiplin dan kaya dengan santunnya. Peribadi mereka ternyata berbeza daripada kisah-kisah kekejaman tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua seperti yang diceritakan oleh nenek moyang kita.

Ketika lawatan ke negara matahari terbit itu baru-baru ini, selain keindahan bunga sakura mekar pada musim bunga dan beberapa tarikan lain, penulis mendapati tarikan utama negara itu adalah rakyatnya yang sangat berdisiplin, prihatin terhadap kebersihan dan teratur dalam segala aspek kehidupan mereka.

Amalan mengucapkan Ohay gozaimasu (Selamat pagi) atau Konichiwa (Selamat petang) sambil menundukkan sedikit kepala atau membongkokkan sedikit badan apabila bertemu pelancong ke Jepun, serta ucapan Arigatou Gozaimasu (Terima kasih), nyata menjadi bukti kemesraan rakyat Jepun.

'Wajah' Jepun yang dapat kita lihat pada hari ini adalah hasil daripada kesungguhan rakyatnya. Perkara yang amat mengagumkan penulis adalah obsesi masyarakat Jepun terhadap kebersihan bukan sahaja sekadar di rumah malah di mana saja. Amalan mereka itu telah menjadikan Jepun sebuah negara yang terkenal kerana kebersihannya.

MEMAHAMI BUDAYA JEPUN

Boleh dikatakan mustahil untuk menemui sampah-sarap yang dibuang di merata tempat mahupun di jalan raya, tandas sentiasa bersih, kedai makan juga kemas dan rapi, kereta serta kenderaan awam di jalan raya juga bersih, kerusi penumpang di dalam bas dan tren sentiasa bagaikan baharu serta air paip pula selamat untuk diminum.

Sukar untuk melihat tong sampah di mana-mana pun tetapi jalan dan kawasan persekitaran sentiasa bersih. Masyarakat Jepun yang makan di restoran tidak meninggalkan meja makan dalam keadaan bersepah. Sebaliknya, di kebanyakan tempat, mereka pulangkan dulang makanan ke rak-rak yang disediakan.

Apabila penulis bertanyakan pegawai pengiring mengapa masyarakat Jepun terlalu memberi perhatian terhadap kebersihan, beliau menjawab; 'Orang Jepun bukan sahaja tidak suka menjadikan sesuatu tempat bersepah malah kami juga tidak suka melihat orang lain membersihkannya'.

Budaya penyelenggaraan juga adalah sesuatu yang berbeza jika dibandingkan dengan negara kita. Jadi tidak hairanlah jika pam tandas serta paip airnya sentiasa dalam keadaan baik. Mesin layan diri sentiasa kelihatan baharu dan berfungsi, dan bangunan juga sentiasa kelihatan baharu walaupun telah dibina bertahun-tahun lamanya atau pernah rosak beberapa kali akibat gempa bumi.

Walaupun kebanyakan rakyat Jepun tidak boleh bertutur bahasa asing, mereka sangat mesra, bersopan santun dan sentiasa bersedia untuk membantu warga asing di negara itu. Pengaruh Barat jelas kelihatan daripada segi selera dan cara mereka berpakaian, namun rakyat Jepun sentiasa berbangga dengan identiti Jepun mereka.

Terdapat beberapa struktur bangunan menyerupai gereja tetapi ia bukanlah rumah ibadat sebaliknya dewan bagi pasangan muda Jepun untuk melangsungkan perkahwinan ala Barat.

Tidak banyak kelihatan kereta besar di jalan raya, kebanyakannya bersaiz kecil. Bagi masyarakat Jepun, kereta bukanlah sesuatu yang melambangkan status seseorang. Walaupun memiliki kereta, kebiasaannya mereka akan ke tempat kerja dengan menaiki tren yang merupakan pengangkutan paling cekap dan boleh diharapkan.

SISI LAIN RAKYAT JEPUN

Bagaimanapun, saya dapati, selain bahasa yang menjadi kekangan, cara menawan hati masyarakat Jepun juga membawa cabaran yang tersendiri. Orang Jepun tidak individualistik tetapi lebih bersifat masyarakat kolektif. Walaupun terdapat pengaruh Barat, masyarakat Jepun berpegang teguh kepada budaya dan norma asalnya, dan semestinya budaya kerja mereka yang luar biasa tekun.

Tinggal di Jepun boleh menjadi pengalaman mencabar bagi orang asing. Bagaimanapun, terdapat ramai rakyat asing yang menetap di Jepun. Antaranya warga Indonesia, Dr. Liem Peng Hong, yang telah tinggal di Jepun bersama-sama isterinya sejak 20 tahun lepas.

Liem, seorang jurutera nuklear dan professor pelawat di Tokyo City University, berkata bahawa mempelajari bahasa dan budaya tempatan adalah penting sekiranya tinggal dan bekerja di Jepun.

Juga, perlu diingat bahawa walaupun masyarakat Jepun sangat sopan, sebagai masyarakat seragam (homogen), mereka tidak begitu terbuka kepada orang asing, tidak bersedia untuk berkongsi pendapat atau perasaan secara terbuka dengan kalangan yang bukan daripada komuniti mereka.

"Oleh itu, jika seseorang warga asing yang bekerja di mana-mana tempat atau menyertai mana-mana kumpulan dan tiba-tiba mendapati rakan berbangsa Jepun mula menjauhkan diri, pastinya ada sesuatu mengenainya yang tidak disenangi mereka tetapi mereka tidak tahu cara untuk memberitahunya kepada warga asing itu," katanya.

"Atas sebab itulah, masyarakat Jepun disalah anggap sebagai takut atau bencikan orang asing (xenobofobia), namun hakikatnya mereka tidak biasa dengan orang asing dan tidak tahu cara untuk menyampaikan hasrat atau perasaan mereka kepada orang asing," tambah Liem.

Liem yang memegang status pemastautin tetap (PR) di Jepun juga mendapati bahawa rakyat Jepun sentiasa meletakkan harapan yang tinggi dan sentiasa bekerja berorientasikan pencapaian ketika bekerja.

"Beban kerja seseorang pekerja di sini adalah dua kali ganda berbanding di Indonesia atau Malaysia. Pada mulanya memang agak sukar untuk memenuhi harapan apabila bekerja di sini. Anda perlu menggandakan usaha untuk setanding dengan orang Jepun yang sentiasa bekerja berlebihan, jika tidak anda akan ketinggalan. Memang sukar untuk menyaingi mereka.

Kecekapan mereka sangat luar biasa. Ketika penerbangan pulang dari Narita, dari pintu masuk, penulis dapat melihat kecekapan petugas di lapangan terbang yang dengan pantas menguruskan pesawat yang baru tiba.

MASALAH RAKYAT JEPUN

Bagaimanapun, bilangan penduduk Jepun kini menjadi kebimbangan dengan golongan warga emas menguasai demografi jumlah penduduk masa kini kerana kadar kelahiran terus menjunam ke paras paling rendah. Jumlah kelahiran setiap tahun kekal di bawah satu juta dan ini bermakna jumlah rakyat Jepun akan terus berkurangan dari 126.5 juta pada masa kini kepada 51 juta menjelang 2115.

Malah, Liem turut terkejut apabila mendapati kebanyakan generasi muda yang beliau kenali walaupun sudah berkahwin tidak berhasrat untuk mempunyai anak dan ada yang hanya mahukan seorang sahaja anak.

Menurut beliau, kebanyakan pasangan enggan mempunyai anak kerana menjaga dan membesarkan anak di Jepun memerlukan kos yang tinggi. Bantuan atau insentif untuk menggalakkan pasangan supaya mempunyai anak tidak mencukupi berbanding di negara-negara maju lain di Eropah dan di Amerika Syarikat.

Kadar kelahiran yang rendah telah menjadikan Jepun sebagai sebuah negara warga emas. Dengan jangka hayat yang panjang, iaitu purata lebih 80 tahun, terdapat lebih ramai golongan warga emas berbanding muda. Golongan tua ini masih menjalani kehidupan harian yang produktif seperti biasa, oleh itu mereka masih kelihatan bekerja di lapangan terbang, bahagian kawalan keselamatan, stesen tren dan seumpamanya.

Bagaimanapun, masyarakat Malaysia yang majmuk (heterogen) dan kalangan rakyat yang masih muda boleh mempelajari banyak aspek daripada rakyat Jepun dalam usaha mencapai negara maju dengan ciri-ciri seperti kecekapan, kebersihan dan keteraturan sebagai teras utama masyarakat Malaysia baharu.

BERNAMA

Post a Comment

0 Comments