PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA SEMAKIN RAPUH - PROF. DATO’ DR. TEO KOK SEONG

Oleh : Siti Lailatul Mastura Norazlan dan Asmahanim Amir

Foto : Shahiddan Saidi

BANGI - Perpaduan kaum di Malaysia dilihat semakin rapuh walaupun negara telah mencapai kemerdekaan ke-62 tahun, kata Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong.

Beliau berkata, perpaduan negara masih pada tahap sosial di mana terdapat defisit kepercayaan antara kaum.

Menurutnya, tahap ini adalah kerana asas pembentukan Malaysia adalah integrasi dalam membentuk negara bangsa dan pada hari ini iaitu tahap perpaduan adalah pada tahap sosial sahaja iaitu hasil integrasi.

“Tak adil kalau kita nak bandingkan dengan Indonesia dan Thailand sebab asas jati diri mereka adalah berbeza berbanding dengan jati diri rakyat kita. Walaupun negara kelihatan bersatu kerana tiada huru-hara, tetapi jika ditinjau hubungan etnik di Semenanjung, tidak ada kerukunan antara kaum dan saling tidak menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Bicara Persada Ke-53 anjuran KITA UKM, bertajuk Perpaduan Rakyat: Semakin Ampuh atau Rapuh? Di Persada Canselori, Bangunan Pentadbiran baru-baru ini.

Ahli panel lain ialah Pengarah KITA, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Setiausaha Agung Kehormat Harmony Malaysia, Prematilaka KD Serisena dan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Divagaar Siva.

Katanya, pergaulan antara tiga kaum utama di Malaysia adalah terhad dan hanya berlaku di majlis-majlis formal sahaja, tetapi tiada interaksi kerana tahap perkenalan dua pihak (kaum) adalah pada permukaan sahaja.

Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Melayu berkata, sejak Merdeka, kerajaan telah melancarkan beberapa inisiatif dalam membentuk perpaduan rakyat, antaranya Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Gagasan 1Malaysia, tetapi semuanya dilihat tidak berjaya.

“Apabila inisiatif ini tidak berjaya, kita perlu melihat semula, mungkin kita gagal dalam aspek pembentukan negara bangsa,” katanya.

Sementara itu, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri menegaskan bahawa masyarakat Malaysia perlu membina kefahaman melalui tiga pekara penting iaitu keluarga, individu dan komuniti.

“Kerapuhan kefahaman dalam tiga elemen ini boleh menyumbang kepada kegagalan perpaduan dalam kalangan rakyat di Negara ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai untuk belajar dari sejarah kerana sejarah menjadikan bagaimana Malaysia terbentuk pada hari ini.

Forum selama dua jam itu turut menampilkan Penyampai RTM, Suhaimi Mohamed sebagai moderator.




Sumber : UKM

Post a Comment

0 Comments