ZAID BIN AMR' UMAT YANG DIBANGKITKAN BERSENDIRIAN DI AKHIRAT

Pada suatu hari, orang-orang Quraish berkumpul pada hari kebesaran mereka di sisi salah satu berhala mereka yang mereka agung-agungkan. Mereka menyembelih di sisinya, beriktikaf padanya dan bernazar untuknya. Hari kebesaran itu diperingati sehari dalam setahun.

Tiba-tiba empat orang mengasingkan diri dari tempat perkumpulan kaum Quraish. Mereka saling berbisik diantara mereka. Sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain, "Kita sepakat untuk jujur dan saling menjaga rahsia." Mereka berkata "Ya". Empat orang tersebut ialah Waraqah bin Naufal, Ubaidullah bin Jahsi, ibunya adalah Umaimah binti Abdul Muthalib, Utsman bin Al Huwairits, dan Zaid bin Amr bin Nufail. Sebahagian berkata kepada yang lain. "Demi ALLAH, kalian telah mengetahui bahawa kaum kita bukan berpijak kepada apa-apa. Mereka telah salah terhadap agama moyang mereka, Ibrahim. Mengapa kita tawaf di sekitar batu yang tidak mendengar, tidak melihat, tidak mendatangkan mudarat, dan tidak mendatangkan manfaat. Wahai kaum, carilah sebuah agama untuk diri kalian kerena demi ALLAH, kalian bukan di atas apa pun."

Lalu mereka berpisah dan bergerak ke pelbagai negeri mencari agama Hafiniyah agama Ibrahim.

Waraqah bin Naufal menelusuri agama nasrani. Dia mencari kitab-kitab dari pemeluknya sehingga dia mengetahui ilmu dari ahli kitab. Ubaidullah bin Jahsi terus mencari sampai Islam tiba dan dia masuk Islam, lalu dia berhijrah ke Habsyah bersama kaum Muslimin diikuti isterinya, Ummu Habibah binti Abu Sufian yang juga masuk Islam. Sayangnya, ketika dia tiba di Habsyah, dia (Ubaidullah bin Jahsi) memeluk agama nasrani dan dia mati di sana sebagai seorang nasrani [1]. Adapun Utsman bin Al Huwairits maka dia datang kepada Kaisar atau Raja Romawi. Dia masuk nasrani dan mempunyai kedudukan di sisi sang Raja.

Adapun Zaid bin Amr bin Nufail maka dia menahan diri. Dia tidak memeluk agama yahudi dan dia juga tidak memeluk agama nasrani. Malah dia juga tidak mengikuti agama kaumnya. Dia menjauhi berhala, bangkai, darah dan sembelihan yang disembelih di depan berhala. Dia melarang menguburkan anak perempuannya hidup-hidup. Dia berkata, "Aku menyembah Rabb Ibrahim." Dia tidak segan mengkritik agama yang dianuti kaumnya.

Dari Asma' binti Abu Bakar R.A, dia berkata, "Aku pernah melihat Zaid bin Amr bin Nufail, seorang lelaki tua yang telah berumur, dia menyandar punggungnya ke Ka'bah. Dia berkata, 'Wahai orang-orang Quraish! Demi Zat yang jiwa Zaid bin Amr berada di tangan-Nya, tidak seorang pun dari kalian yang memegang agama Ibrahim selain aku. Ya ALLAH, seandainya aku mengetahui wajah apakah yang paling Engkau cintai, niscaya aku menyembah-Mu dengannya, tetapi aku tidak mengetahui'. Kemudian dia bersujud setahunya.

Ibnu Ishaq Rahimahullah berkata, "Aku diberitahu bahawa anaknya Said bin Zaid bin Amr bin Nufail dan Umar bin Al-Khattab sepupunya berkata kepada Rasulullah S.A.W, 'Apakah kami boleh beristighfar (memohon keampunan kepada ALLAH) untuk Zaid bin Amr? Nabi S.A.W menjawab

"Ya, kerana dia dibangkitkan sebagai umat bersendirian."

(Hadis riwayat Ahmad dalam Al-Musnad (no.1647). Syeikh Ahmad Syakir Rahimahullah berkata, "Sanadnya Sahih".

Nota Kaki :

1. Syeikh Abdul Mohsin Abdullah Az-Zamil mengatakan kisah-kisah kemurtadannya semua datang melalui riwayat-riwayat yang lemah tidak sabit. Justeru kisah tersebut pelik lagi ganjil. Ia tidak sabit. Rujuk : https://ar.islamway.net/fatwa/

Sumber : At-Taarikh Al-Islami karya Mahmud Syakir (III/31) cetakan Al-Maktab Al-Islami

Post a Comment

0 Comments